Bekas pemain kebangsaan, K.Reuben mendedahkan hakikat perit, realiti sebenar di sebalik mengejar gelaran pemain bolasepak profesional.
Reuben yang kini mengusahakan Akademi Football First berkata, dia sering berjumpa dengan ibu bapa yang teruja dengan potensi dan bakat anak mereka. Namun, apabila dia mengajukan satu soalan, ia pantas membuatkan mereka tersentak.
“Saya selalu tanya soalan yang sama — adakah anda okay kalau, apabila anak anda berusia 30 tahun nanti, dia hanya memandu Grab?” kata Reuben, yang menyarung jersi Malaysia dari 2011-2013 seperti dilaporkan wartawan Timesport, K.Rajan.
“Tiada niat menghina langsung kepada mereka yang memandu Grab. Itu kerja yang jujur dan saya menghormati mereka. Tetapi itulah realitinya. Saya kenal rakan-rakan saya, sekurang-kurangnya 40 hingga 50 peratus daripada mereka, mungkin lebih, kini tiada pekerjaan.
“Mereka berusia 30 tahun, sudah berkeluarga, dan apabila ‘pentas’ itu tiba-tiba hilang dari bawah kaki anda, apa yang tinggal untuk anda teruskan hidup?”
Soalan itu mungkin kedengaran keras kepada ibu bapa, tetapi bagi Reuben, ia perlu ditanya.
Intinya adalah tentang realiti pahit dunia bola sepak — dan perlunya ibu bapa melihat gambaran besar, melangkaui sekadar mengejar kerjaya profesional.
Falsafah itulah yang menjadi asas misinya sekarang.
Selepas bersara, Reuben tidak mengejar kerjaya kejurulatihan dalam Liga Super sebaliknya pada usia 35 tahun, dia menubuhkan Akademi Football First yang menawarkan latihan untuk empat kumpulan umur: Bawah-8, Bawah-10, Bawah-12 dan Bawah-16.
Akademi itu, yang memenangi 2025 Parent Choice Awards, kini mempunyai cawangan di Kajang, Cheras, Subang Jaya, Klang, Puchong, Ampang, Rawang, Nilai, Menglembu, Tambun dan Seremban 2.
“Saya rasa dalam hati saya bahawa saya mahu beri kembali kepada kanak-kanak,” kata Reuben, yang pernah bermain untuk ATM, Polis, Pulau Pinang, PKNS, UKM dan Sarawak United dalam saingan Liga Malaysia.
“Saya membesar dalam suasana rumah anak-anak yatim. Kanak-kanak itu suci, polos dan sederhana. Tanpa politik dan kerenah birokrasi, yang tinggal hanyalah keindahan bola sepak. Jika saya boleh ajarkan itu kepada mereka, saya boleh melakukannya sepanjang hidup saya,” katanya.
Bagi Reuben, akademinya bukan tentang mencari Lionel Messi seterusnya; ia tentang mengelakkan lebih banyak impian anak-anak kecil musnah.
Dia melihat bola sepak Malaysia terperangkap dalam situasi “telur dan ayam” — sibuk membahas standard skuad kebangsaan tanpa memperkukuhkan “tapak piramid”.
“Pembangunan akar umbi adalah jalan ke hadapan, saya mungkin tidak dapat ubah peringkat tertinggi sekarang, tetapi saya boleh membuat perubahan untuk 20 tahun akan datang. Untuk membina sesuatu, anda perlukan asas yang kukuh. Kalau mula dari atas, sudah terlambat.”
Falsafah akademinya berpusat pada pembangunan holistik. Matlamatnya bukan hanya melahirkan pemain bola sepak, tetapi individu berdaya tahan yang boleh mengharungi hidup sama ada mereka mendapat kontrak profesional atau tidak.
“Saya ajar budak bermain bola sepak dan bina karakter mereka, kemudian kita lihat ke mana dunia akan bawa mereka.
“Mungkin kita ada pemain kebangsaan seterusnya di sini. Jika tidak, kita tetap melahirkan insan yang lebih baik — insan yang membawa nilai kepada masyarakat,” ujar Reuben.
Misi mulia Reuben semakin berkembang. Dalam tempoh tiga tahun sahaja, programnya berkembang kepada sembilan cawangan di Lembah Klang dan dua lagi di luar Kuala Lumpur.
Dia turut berkembang ke kawasan komuniti yang kurang mendapat akses — menawarkan apa yang tidak pernah dia miliki ketika membesar di Kajang.
“Ketika saya kecil, ibu bapa saya perlu memandu dari Kajang sampai ke PJ hanya untuk ke akademi. Itu bukan sesuatu yang ideal. Jadi sekarang saya mahu jadikan bola sepak lebih mudah diakses oleh seramai mungkin kanak-kanak.”
Jika falsafahnya adalah otak akademi, persekitaran di padang pula adalah jantungnya. Dalam dunia yang semakin berpecah, sesi latihan akademinya menjadi ruang “muhibbah” yang jarang ditemui apabila kanak-kanak Melayu, Cina, India dan Sikh berlatih dan ketawa bersama.
“Setiap kali ada perlawanan, anda hanya perlu masuk ke kedai mamak. Anda boleh lihat semua kaum duduk bersama meraikan. Itulah keindahan sukan. Ia tidak melihat warna kulit,” katanya.
Kanak-kanak berkeperluan khas juga berlatih bersama semua peserta lain, bukan dipinggirkan tetapi disokong.
“Ada anak-anak yang beritahu saya mereka tinggalkan akademi lain sebab budak-budak di sana terlalu bagus dan memperlekeh mereka. Di sini, semuanya tentang belajar dan kebersamaan,” kata Reuben.
“Jika seseorang itu ‘terlalu pandai’, mereka sebenarnya berada di tempat yang salah. Malah, kami tempatkan kanak-kanak berkeperluan khas dalam kumpulan lebih tua secara sengaja supaya semua belajar bahawa kemampuan berbeza patut diraikan.”
Reuben turut melihat bola sepak sebagai alat untuk menjauhkan kanak-kanak daripada gejala sosial dalam zaman yang dipenuhi gajet elektronik.
“Ibu bapa hanya ada sehingga umur anak mereka 10 tahun untuk menarik minat mereka kepada sukan. Apabila mereka mencecah 13 tahun, jika mereka tidak jatuh cinta kepada aktiviti luar ketika itu, mereka tidak akan jatuh cinta lagi.”
“Segala benda lain menjerit pada mereka dari skrin. Jadi bila ibu bapa bawa anak mereka pada usia lima atau enam tahun, saya cakap, bagus. Hari ini mereka mungkin tak pandai main, tapi esok mereka akan suka,” katanya.
Bagi Reuben, ini adalah permainan jangka panjang. Dia tahu dia tidak boleh membaiki bola sepak Malaysia dalam sekelip mata, tetapi dia percaya dia boleh membentuk insan yang lebih baik.
“Saya mahu bawa permainan yang tulen ini kepada kanak-kanak, sesuatu yang bersih, menyeronokkan dan selamat,” katanya.
“Berhenti cari jalan pintas. Mari bina manusia yang baik, yang mempunyai integriti. Bola sepak itu indah. Kanak-kanak itu suci. Mari kekalkan ia suci.”
Sama ada kanak-kanak ini berakhir di Liga Super atau bekerja di pejabat, dia mahu mereka bersedia untuk menghadapi dunia.



