HomeRencana"Revolusi Usah Fokus Pada Naturalisasi Sahaja"

“Revolusi Usah Fokus Pada Naturalisasi Sahaja”

Revolusi Harimau Malaya yang sudahpun bermula tidak sepatutnya bergantung semata-mata kepada pemain naturalisasi.

Tetapi gilap dan ketengahkan lebih ramai pemain-pemain muda tempatan yang memiliki potensi tinggi. Itu pandangan bekas pemain kebangsaan, Dato’ Richard Scully.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan pencetus kepada revolusi ini, baru-baru ini telahpun memberi bayangan dua pemain iaitu Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo akan dinaturalisasikan untuk memperkuatkan Harimau Malaya.

Berita Berkaitan: Bergson Yakin TMJ Buat Keputusan Tepat

Pemain lain seperti Giancarlo Gallifuoco juga sedang hangat dikaitkan untuk masuk ke dalam senarai naturalisasi.

Manakala Tunku Ismail dalam masa sama mendedahkan sedang bekerjasama dengan FIFA bagi mendapatkan data pemain-pemain warisan berdarah Malaysia yang berpangkalan di luar negara.

Scully bagaimanapun menggesa dan berharap ia akan kekal sebagai solusi jangka pendek memandangkan negara tidak ketandusan pemain-pemain berbakat yang perlu diberi perhatian dan peluang.

Beliau menjadikan pemain-pemain seperti Gabriel Nistelrooy (JDT II), Abdul Rahman Daud (Selangor) dan Afeeq Iqmal Rosli (Kedah) yang sedang memimpin carta penjaring Piala MFL sebagai contoh.

“Sudah tentu saya gembira dengan usaha serta revolusi yang bertujuan meningkatkan standard bolasepak Malaysia ini, tetapi saya tidak teruja kerana kita belum nampak sebarang kemajuan.

“Beberapa nama telah disebut untuk naturalisasi, tetapi biarlah ia kekal sebagai solusi jangka pendek. Kerana kita ada pemain-pemain muda sedang menyerlah di Piala MFL yang wajar dipertimbangkan sebagai laluan mereka ke skuad kebangsaan.

“Adalah penting untuk mengenalpasti dan meningkatkan bakat pemain tempatan ini, membantu mereka mencapai potensi penuh dan memastikan mereka dapat menyumbang kepada skuad negara,” ujar beliau.

Scully turut menekankan keperluan adanya roadmap atau pelan halatuju yang tersusun bagi memastikan bakat muda mendapat pengalaman yang secukupnya bersama pasukan kebangsaan.

“Kelab perlu memainkan peranan dengan memberi pendedahan kepada pemain-pemain di pentas senior dalam Liga Super yang boleh menjadi batu loncatan untuk mereka.

“Pembangunan mereka ini perlu menjadi keutamaan negara. Kita perlu memastikan mereka bersedia untuk bermain dengan negara yang memerlukan usaha keras dan pelaburan jangka panjang dalam pemain-pemain ini.”

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!