Persiapan Pahang Rangers untuk menghadapi musim baru Malaysia Premier Futsal League (MPFL) sedikit terencat selepas kehilangan khidmat empat tonggak utama.
Mendahului senarai adalah pivot senior, Saiful Nizam Md Ali yang memilih untuk meninggalkan pasukan selepas enam musim bersama kelab itu.
Saiful Nizam yang juga bekas pemain kebangsaan, merupakan antara pemain paling lama bersama Pahang Rangers, menyertai mereka pada 2019.
Baca juga: Kenali Tengku Eddie Akasya, Putera Tengku Muda Pahang
Pada musim sulungnya di Kuantan, Saiful Nizam bersama-sama Ridzwan Bakri dan Fariq Mohd memenangi Anugerah Penjaring Terbanyak MPFL dengan 18 gol.
“Setelah mengharungi 6 tahun yang luar biasa bersama, pivot senior Saiful Nizam mengucapkan selamat tinggal kepada Pahang Rangers FC.
“Kelab menghormati keputusan Nizam yang memilih untuk berhijrah atas sebab komitmen tugas dan keluarga.
“Bermula dengan musim debut sensasi pada 2019 yang membawa kepadanya gelaran topscorer MPFL dengan 18 gol, Nizam telah menjadi antara tonggak instrumental pasukan.
“Meninggalkan PRFC dengan total 75 penampilan, 35 gol dan 21 assist dari 2019 – 2024, Nizam memahat nama sebagai sebahagian daripada sejarah yang akan dikenang.
“Terima kasih Nizam atas dedikasi, komitmen, sumbangan cukup luar biasa sepanjang 6 musim bersama. Terima kasih telah menjadi inspirasi dan contoh yang baik kepada pemain-pemain muda baik di dalam mahupun luar gelanggang,” menurut kenyataan Pahang Rangers.

Sufri dan Nazreen Bawa Haluan Berbeza
Seorang lagi pemain Sufri Shamil pula membuat pengumuman di instagram peribadinya, bahawa dia juga akan membawa haluan berbeza.
“Bukan mudah untuk mengucapkan selamat tinggal tetapi masanya telah tiba untuk meninggalkan pasukan yang hebat ini. Menjadi sebahagian daripada perjalanan bersama anda semua adalah pengalaman terbaik buat saya. Bersama, kita berkongsi kejayaan, berdepan cabaran dan mencipta memori yang akan selamanya saya ingati.
“Keputusan ini saya buat dengan cukup berat hati. Namun saya percaya ini waktu tepat untuk mencuba peluang baru dan fokus kepada aspek lain dalam perjalanan saya,” ujar Sufri.
Sebelum ini, juara berganda MPFL dan Malaysia Futsal Cup 2023 itu turut melepaskan Nazreen Saudi.
Guntur Pulang Ke Indonesia
Turut tidak bersama kelab itu untuk musim baru, adalah pemain import dari Indonesia, Guntur Sulistyo Ariwibowo.
Guntur baru sahaja menyertai Pahang Rangers pada bulan September lalu, meninggalkan Gombak TOT bagi membantu perjuangan mereka di Malaysia Futsal Cup.
Difahamkan Guntur yang menjulang Piala Futsal ASEAN bersama Indonesia baru-baru ini, telah kembali ke negara kelahirannya setelah menerima tawaran di sana.
Pahang Rangers bagi musim baru bakal terus dikemudi pengendali dari Sepanyol, Luis Fonseca Cilleros, dan dijangka mempertaruhkan ramai bakat-bakat muda.