HomeSukan"Satu Kerugian Selangor Kehilangan Nidzam Jamil" - Irfan

“Satu Kerugian Selangor Kehilangan Nidzam Jamil” – Irfan

Katsuhito Kinoshi dianggap gagal tatkala Selangor kehilangan khidmat Nidzam Jamil disifatkan sebagai satu kerugian.

Baru dua perlawanan, pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi sudahpun dicop sebagai gagal. Kenyataan keras dan pedas itu, dilontarkan bekas jurulatih Selangor, Irfan Bakti.

Kinoshi yang dilantik menggantikan Nidzam Jamil, memulakan tugas dengan langkah kiri apabila tewas kepada Muangthong United dalam aksi ACL2 minggu lalu. Ini menyaksikan laluan mereka ke pusingan berikutnya sedikit berliku.

Manakala aksi kedua, Selangor tewas kepada Sri Pahang 1-2 pada Ahad lalu dan gagal meneruskan langkahan ke suku akhir Piala Malaysia.

Menurut Irfan yang membimbing Selangor dari 2011 – 2013, ini membuktikan Kinoshi gagal dan bakal berdepan tekanan lagi besar untuk mengembalikan prestasi Selangor ke tahap sebenar.

“Resume seseorang jurulatih itu sebenarnya tidak menggambarkan kebolehan seseorang jurulatih itu. Nak menguruskan Selangor ini umpama menguruskan Manchester United kerana ini adalah pasukan yang besar, jadi ini bukanlah satu tugas yang mudah.

“Kegagalan layak ke suku akhir itu adalah satu situasi yang malang. Begitu juga dengan ACL2 di mana kita sepatutnya sudah layak jadi apabila ini berlaku, maknanya pelantikan jurulatih baharu itu bukanlah menyelesaikan masalah.

“Saya tak tahu kenapa ini berlaku, mungkin ada pertukaran taktikal atau formasi tetapi kita anggap dia gagal,” kata Irfan dipetik dari BH Sukan.

Tambah beliau lagi, “Buatlah apa pun, kena bagi harapan dan ikutlah mana-mana jalan pun, Selangor kena juga ambil (dapatkan) nombor dua dalam liga kerana saya tidak nampak pasukan lain yang boleh mencapainya.

“Mungkin ada ruang dan peluang kerana saingan Liga Super pun masih panjang jadi teruskan berusaha. Cuma persoalannya, bolehkah jurulatih ini nak buat benda itu? Jadi pada saya, satu kerugian apabila Selangor kehilangan Nidzam Jamil,” katanya.

Untuk rekod, Nidzam Jamil meletak jawatan secara mengejut sebagai jurulatih Selangor pada Oktober lalu selepas tujuh bulan mengemudi pasukan itu.

Tiada kenyataan dibuat Selangor mahupun jurulatih itu sendiri mengenai pengunduran secara mengejutnya itu.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!