Kesetiaan Moises Caicedo terhadap teman wanita tidak tergugat walaupun diiringi kehidupan glamour, mewah dan berprofil tinggi.
Pada 2023, bintang Chelsea Moises Caicedo berpindah ke Stamford Bridge dengan nilai £115m yang merupakan rekod perpindahan British, dan dibayar £150,000 seminggu.
Di sebalik status sebagai salah seorang pemain termahal dunia, Moises Caicedo tidak pernah sekalipun terbuai dengan gaya hidup glamour dan berprofil tinggi yang mengiringinya.
Dia kekal sebagai pemain yang sentiasa merendah diri, berpijak di bumi nyata dan seorang yang sentiasa menghargai. Ini termasuklah dalam soal perhubungan dan percintaan.
Walaupun berada di ibu kota London dan dikelilingi ramai supermodel British yang sentiasa mencari peluang berpacaran dengan pemain bolasepak, kesetiaan Moises Caicedo kepada teman wanitanya Paola Salazar, tetap utuh.
Baca juga: Kekasih Kena Troll Tiada Rupa Model, Declan Rice Tetap Setia
Pemain itu berkongsi satu kisah bagaimana dia ditertawakan oleh rakan sepasukannya kerana kesetiaan tersebut.
“Apabila saya berpindah ke England meninggalkan kampung halaman saya, saya tunjukkan satu gambar lama saya bersama teman wanita kepada rakan sepasukan. Salah seorang bertanya, adakah saya masih lagi setia kepada dia. Memandangkan saya kini dikelilingi gadis-gadis cantik persis supermodel di bumi England dan berada jauh dengannya.
“Mereka mengatakan dengan apa yang saya ada, saya boleh dapat gadis yang jauh lebih cantik.
“Saya beritahu, saya sudahpun memiliki wanita tercantik di dunia sebagai teman, yang lain semua nampak hodoh. Mereka semua mentertawakan saya dan menggelar saya lover boy.
Duit dan Kemewahan Tidak Sepatutnya Ubah Hati Manusia
“Saya tidak faham, duit dan kemewahan sepatutnya tidak merubah hati manusia. Bagi saya, teman wanita saya adalah paling cantik bukan kerana rupa dia, tetapi kerana dialah menyokong perkembangan karier saya dari awal.
“Saya datang dari latar belakang yang sangat susah, saya mengenali dia ketika masih di akademi. Dia bersama di setiap waktu saya susah, sentiasa memberi sokongan. Ketika saya down, atau dikecam, hanya dia yang akan menenangkan saya.
“Sedangkan dia tidak pernah terfikir meninggalkan saya ketika tiada apa-apa, apabila saya senang, wajarkah saya meninggalkan dia? Dia adalah satu-satunya wanita saya kenal, paling cantik di dunia, dan ia akan kekal begitu selamanya,” kata Caicedo.
Difahamkan, selepas mencipta nama dan berpindah ke Chelsea, Caicedo telahpun membawa teman wanitanya itu untuk tinggal bersama di London.
Lebih menarik, teman wanitanya yang dulu nampak seperti gadis kampung, sederhana, dan ditertawakan, diubahnya menjadi persis model. Kini penampilannya dicemburui ramai.
Baru-baru ini pada bulan November, Caicedo dan Salazar menimang cahaya mata pertama mereka. Berita gembira itu diumumkan sendiri Caicedo menerusi instagramnya.
Hakcipta penulisan Otai Station. Sebarang penerbitan semula sila kreditkan kepada otaistation.com.