HomeSukan"Sebelum Saya Hadir, Portugal Tak Pernah Menang Apa-Apa"

“Sebelum Saya Hadir, Portugal Tak Pernah Menang Apa-Apa”

Belum ada kepastian mengenai masa depan Cristiano Ronaldo bersama Portugal, meskipun dia sendiri mengakui Piala Dunia 2026 adalah penampilan terakhirnya di pentas terbesar bola sepak dunia.

Bekas pemain terbaik dunia sebanyak lima kali itu, enggan membuat keputusan terburu-buru untuk bersara mewakili pasukan kebangsaan setelah gagal mencari penamat manis buat karier antarabangsanya dengan menjulang trofi Piala Dunia.

Portugal tersingkir pada pusingan 16 terbaik meskipun hadir sebagai salah satu pasukan favourite pertandingan, selepas tewas 0-1 kepada Sepanyol hasil jaringan lewat pemain gantian, Mikel Merino.

Penyerang berusia 41 tahun itu berkata, Sepanyol sedikit bernasib baik apabila memperoleh gol kemenangan pada saat-saat akhir dalam perlawanan yang menurutnya boleh memihak kepada mana-mana pasukan.

“Saya sedih kerana meninggalkan Piala Dunia dengan cara ini. Saya sudah memberikan segala-galanya dan melakukan yang terbaik. Saya meninggalkan kejohanan ini dengan hati yang tenang.

“Ya, ini Piala Dunia terakhir saya, tetapi saya akan mengambil masa untuk berfikir dan bersama keluarga. Saya tidak akan membuat keputusan secara terburu-buru (tentang terus mewakili Portugal). Saya tidak membuat keputusan ketika emosi,” katanya.

Bekas bintang Real Madrid dan Manchester United itu berkata dia tetap berbangga dengan sumbangannya sepanjang menyarung jersi Portugal.

“Saya memenangi tiga gelaran bersama Portugal. Sebelum Cristiano Ronaldo, Portugal tidak pernah memenangi sebarang gelaran. Gelaran Euro 2016 adalah kejuaraan terbesar dalam sejarah bola sepak Portugal dan bagi saya nilainya sama besarnya seperti memenangi Piala Dunia,” ujarnya lagi.

Ronaldo turut mengucapkan penghargaan kepada Roberto Martinez yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua jurulatih Portugal sejurus selepas kekalahan itu.

“Saya sangat seronok bekerja dengannya. Beliau jurulatih yang hebat dan seorang insan yang luar biasa. Apa yang dilakukannya untuk Portugal wajar dihargai dan saya mendoakan yang terbaik buatnya,” katanya.

Menurut pemain Al Nassr itu, Portugal tetap boleh berbangga dengan prestasi mereka walaupun gagal meneruskan kemaraan.

“Sudah tentu kami kecewa tersingkir daripada kejohanan sebesar ini. Tetapi kami boleh pulang dengan mendabik dada. Inilah bola sepak dan kami perlu bangkit semula,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular