Selepas melayakkan diri ke final Piala Cabaran, Selangor kini berpeluang mencipta sejarah tersendiri dalam saingan Liga Malaysia.
Sekiranya berjaya muncul juara dengan menewaskan juara bertahan PDRM FC dalam aksi final nanti, skuad Red Giants akan menoktahkan penantian 10 tahun untuk merasai nikmat mendakap piala.
Tetapi lebih daripada itu, skuad Katsuhito Kinoshi akan menjadi pasukan pertama untuk menjulang kesemua piala dipertandingkan di pentas domestik.
Baca Juga: Kinoshi Dedah Resipi Kejayaan Selangor
Sebagai pasukan paling berjaya dalam arena bolasepak tempatan, Selangor sebelum ini telah merangkul kejuaraan liga sebanyak lapan kali membabitkan saingan dua divisyen iaitu Liga Malaysia, Liga Semi Pro Divisyen Satu dan Divisyen Dua, Liga Perdana, Liga Perdana Satu, Liga Perdana Dua, dan terakhir menjulang Liga Super pada 2010.
Tidak ketinggalan, Selangor juga pernah menjulang Piala FAM sebanyak tujuh kali dan Piala Sumbangsih sebanyak lapan kali.
Manakala dalam pentas Piala FA, Selangor telah muncul juara sebanyak sebanyak lima kali dengan yang terakhir adalah pada 2009, setelah menewaskan Kelantan menerusi tendangan penalti.
Dalam saingan Piala Malaysia pula, siapa boleh menafikan rekod cemerlang Selangor, telahpun menjulang piala yang merupakan antara tertua di rantau Asia Tenggara itu sebanyak 33 kali – kali terakhir dengan menewaskan Kedah pada 2015.
Justeru dengan memenangi Piala Cabaran tahun ini, mereka akan menoktahkan kemarau panjang, dalam masa sama menambah koleksi trofi dalam kabinet yang sudah sekian lama ditutup rapi.
Kembalikan Kepercayaan Penyokong
Dalam pada itu, Katsuhito Kinoshi berharap kejayaan Red Giants mara ke final Piala Cabaran dapat mengembalikan kepercayaan penyokong.
“Kami berharap pencapaian ini secara tidak langsung dapat mengembalikan kepercayaan penyokong menerusi peningkatan prestasi semasa.
“Kami perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan semula kepercayaan mereka kerana penyokong adalah sebahagian daripada pasukan Selangor,” ujarnya.