HomeSukanSelangor Sedia Berkorban Demi Survival Liga Malaysia

Selangor Sedia Berkorban Demi Survival Liga Malaysia

Apa sahaja perubahan atau pembaharuan dilaksanakan Malaysia Football League (MFL) terhadap struktur Liga Malaysia, akan diterima Selangor FC sekiranya ia adalah bertujuan untuk menyelamatkan bolasepak tanah air daripada situasi tenat ketika ini.

Demikian menurut CEO Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon seperti dilaporkan Astro Arena, berikutan cadangan-cadangan transformasi mahupun reformasi Liga Malaysia yang semakin hangat diperkatakan.

Antaranya adalah kembali kepada format liga semi-pro, penyelarasan bajet pasukan bagi memastikan persaingan lebih adil, perubahan kuota import dan lain-lain dalam memastikan liga tempatan terus bertahan untuk jangka panjang.

Beliau menekankan adalah penting untuk satu keputusan bersama di antara MFL dan semua pihak berkepentingan perlu segera dicapai mengambil kira kedudukan kewangan pasukan yang berada dalam keadaan membimbangkan.

“Kita terbuka untuk menerima perubahan dan sekiranya memerlukan pengorbanan daripada pasukan yang bertanding, kita sedia memberikan kerjasama penuh demi memperbaiki keadaan semasa Liga Malaysia,” kata Johan.

Johan juga mengakui tekanan kewangan kritikal sekiranya tidak ditangani dengan berkesan, berpotensi menjejaskan kelangsungan liga malah lebih banyak pasukan-pasukan besar akan hilang dari radar.

Kata-kata Johan ini bersandarkan fakta jelas, di mana dalam tempoh 10 musim terakhir, Liga Malaysia telah kehilangan kelab-kelab penuh sejarah dan tradisi mengagumkan antaranya Kelantan, Kedah, Sarawak, Perlis, Felda United, Perak dan terbaru Pahang – sama ada memilih untuk bermain di divisyen lebih rendah, ataupun berkubur terus.

Justeru itu, MFL selaku badan pengelola disaran memikirkan langkah komprehensif dan mengambil pendekatan realistik dalam situasi mendesak ini, sambil mengharapkan semua pihak akan berjiwa besar sepertimana Selangor.

RELATED ARTICLES

Most Popular