Pemerhati sukan yang juga bekas pengurus pasukan Selangor, Zakaria Rahim berharap skuad bolasepak kebangsaan akan tampil lebih padu apabila sudah dibarisi lebih ramai pemain warisan selepas ini.
Menurutnya dalam laporan disiarkan BH Sukan, penyokong sudah tentunya meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat Harimau Malaya mengaum garang, selepas tidak begitu meyakinkan ketika menewaskan Nepal 2-0 tempoh hari, dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027.
Pada perlawanan itu, skuad negara kendalian Peter Cklamovski mendapat sentuhan tambahan dari seorang lagi pemain warisan iaitu Hector Hevel yang turut menjaringkan gol pembukaan. Namun Zakaria menegaskan ia belum cukup bagus mengambil kira tahap yang berbeza jauh antara kedua-dua pasukan.
“Sebagai contoh ketika menentang Nepal baru-baru ini, kemenangan 2-0 bukanlah satu kejayaan jika dilihat dari sudut ranking kedua-dua pasukan dan kualiti pemain. Malaysia berada jauh di atas Nepal dari segi ranking manakala kita dibarisi oleh 80 peratus pemain warisan berbanding Nepal.
“Tetapi Malaysia hanya mampu menang 2-0. Dalam situasi begini, Malaysia seharusnya mencapai keputusan lebih meyakinkan seperti 5-0 atau lebih apatah lagi mendapat peluang bermain di stadium yang serba canggih di bumi sendiri dan berlatih di pusat latihan berteknologi tinggi.
“Di sinilah letaknya kemampuan Harimau Malaya untuk memenuhi harapan peminat. Kemenangan 2-0 meletakkan seolah-olah Malaysia hanya lebih baik sedikit berbanding Nepal.
“Apabila tambahan tujuh lagi pemain warisan, Malaysia harus jauh lebih baik dari Vietnam, Thailand, India dan sangat kompetitif dengan Jepun, Korea, Iran dan Australia,” kata Zakaria.
Selepas kemenangan tersebut, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang juga pencetus revolusi Harimau Malaya menyatakan rasa teruja dengan permulaan langkah kanan Cklamovski dan menyatakan tujuh lagi pemain warisan akan dibawa masuk memperkuatkan skuad kebangsaan.
“Perjalanan masih jauh. Saya yakin kita akan ada kemajuan yang berterusan serta penambah baikan dalam setiap aspek. (Menentang Nepal) kita boleh lihat struktur permainan dengan intensiti tinggi sepanjang 90 minit perlawanan.
“Untuk perkemaskan lagi skuad tujuh pemain Malaysia di luar negara akan tambah lagi kualiti bagi membantu skuad kebangsaan.
“Yang penting pasukan negara bermain dalam pertandingan antarabangsa yang terbaik dan disegani. Ia merupakan satu kebanggaan dan menaikkan lagi imej bola sepak negara.
“Untuk mencapai matlamat tersebut kita harus bersatu dan bersabar, keutamaan bukanlah terlalu gopoh untuk berjaya tetapi arah yang kita tuju harus tepat dan melaksanakan dengan kesungguhan,” ujar Tunku Ismail.