HomeRencanaSteve Darby: "Bolasepak Malaysia Belum Belajar Dari Kesilapan"

Steve Darby: “Bolasepak Malaysia Belum Belajar Dari Kesilapan”

Jurulatih veteran yang pernah berkhidmat di Liga Malaysia, Steve Darby, berpendapat bolasepak Malaysia masih belum belajar daripada kesilapan lalu, merujuk kepada skandal mengatur perlawanan pada tahun 1994.

Ini susulan krisis baharu dihadapi, selepas FIFA mengenakan hukuman berat terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain naturalisasi.

Darby percaya bahawa punca kedua-dua krisis ini berpunca daripada kegagalan sistemik, tadbir urus yang lemah dan sempadan moral yang kabur, yang akhirnya menggugat integriti bola sepak Malaysia.

Pada tahun 1994, skandal mengatur perlawanan yang menggegarkan bolasepak tempatan menyaksikan lebih 100 pemain dan jurulatih terlibat. Akibatnya, 58 pemain digantung sehingga empat tahun, manakala beberapa lagi dihukum gantung seumur hidup.

Insiden itu memusnahkan kepercayaan peminat terhadap Liga-M — penyokong mula menjauh dari stadium, penaja turut menarik diri, dan kredibiliti bola sepak Malaysia jatuh merudum.

Kini, satu lagi ‘awan gelap’ FIFA menyelubungi bola sepak negara. Badan induk dunia itu mendapati bahawa FAM menyerahkan dokumen palsu ketika mendaftarkan tujuh pemain untuk skuad kebangsaan.

Akibatnya, FAM didenda 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) dan tujuh pemain — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano — masing-masing digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak dan denda 2,000 franc Swiss.

“Saya rasa FIFA tiada pilihan lain apabila mereka mendapat bukti rasmi mengenai tempat lahir datuk nenek pemain-pemain itu,” kata Darby kepada wartawan Timesport, Farah Azharie.

“Tapi saya tak percaya ada yang fikir tujuh pemain tiba-tiba layak serentak tidak akan menimbulkan syak wasangka, apatah lagi bila ia membantu kemenangan besar ke atas seteru utama (menewaskan Vietnam 4-0 dalam kelayakan Piala Asia),” tambahnya.

Darby yang pernah melatih Perak, Johor dan Kelantan, serta menjadi penolong jurulatih skuad Thailand (2008–2009), turut pernah berkhidmat di Laos, Singapura, Vietnam dan India.

Beliau tiba di Malaysia pada tahun 1998, ketika bola sepak negara masih berusaha bangkit selepas skandal 1994.

Mengulas mengenai skandal terkini, Darby berkata: “Saya simpati terhadap pemain-pemain. Sama seperti dalam kes mengatur perlawanan, mereka dijadikan sasaran mudah.

“Siasatan sepatutnya mencari siapakah dalang sebenar di sebalik idea pemalsuan itu dan siapa yang membenarkannya berlaku. Dalam kes mengatur perlawanan dulu pun, mereka yang ‘besar’ (ikan jerung) sering terlepas,” katanya.

Darby juga menekankan bahawa budaya mencari jalan pintas dan pengawasan yang longgar, masih menghantui bola sepak Malaysia hingga kini.

Apabila FIFA menyifatkan tindakan Malaysia sebagai “menggugat asas sebenar bola sepak yang berteraskan kejujuran dan ketelusan”, Darby tidak terkejut.

Baca Juga: FIFA Menang Kesemua 54 Kes Yang Dibawa Ke CAS

“Perkara seperti ini menghancurkan kepercayaan terhadap keadilan pertandingan. Bolasepak perlu menjaga integritinya sebelum menjaga reputasinya, sebab bila peminat dah hilang kepercayaan, sebenarnya kau dah kalah.”

Kisah bolasepak Malaysia sentiasa tentang potensi besar yang terbantut akibat kelemahan pentadbiran. Namun Darby percaya negara masih memiliki bakat dan sumber mencukupi untuk menjadi kuasa utama serantau — asalkan kepimpinan dan perancangan jangka panjang ditambah baik.

“Malaysia ada bakat, ada kekuatan ekonomi. Tapi kualiti kepimpinan dan perancangan jangka panjang masih tiada. Skandalnya berbeza, tapi ceritanya sama. Harap kali ini Malaysia benar-benar belajar daripada kesilapan,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular