HomeSukan"Tak Perlu Tegakkan Benang Yang Basah, Halalkan Benda Yang Salah"

“Tak Perlu Tegakkan Benang Yang Basah, Halalkan Benda Yang Salah”

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau mana-mana pihak yang terbabit dinasihatkan jangan cepat melatah susulan keputusan Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) berhubung kes tujuh pemain warisan.

Demikian tegas bekas Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar yang berkata badan induk itu sepatutnya menunggu sehingga alasan penghakiman penuh dikeluarkan terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan.

Menurut Saifuddin kepada Timesport, kenyataan yang dibuat secara terburu-buru hanya akan mengeruhkan keadaan, sekali gus merumitkan lagi hubungan antara FAM dengan AFC serta FIFA.

“Bagi saya, tak perlu komen lagi buat masa ini. Kita tunggu laporan penuh keluar sebelum buat apa-apa keputusan. Sekarang ini masih terlalu awal. Kalau kita cepat sangat bagi ulasan, bimbang ia akan menambah masalah antara kita dengan pihak AFC atau FIFA.”

Kenyataan beliau ini hadir selepas FAM menzahirkan rasa kecewa terhadap keputusan CAS. Ia kemudian disusuli kekecewaan yang diluahkan oleh CEO pasukan kebangsaan, Rob Friend. Malahan pencetus revolusi bolasepak tanah air, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga menyelar FIFA dan keputusan CAS sebagai tidak adil.

Khamis lalu, CAS selaku mahkamah tertinggi sukan dunia, mengekalkan denda FIFA sebanyak 350,000 Swiss francs (RM1.8 juta) terhadap FAM. Turut dikekalkan adalah penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain naturalisasi selepas rayuan mereka ditolak.

FIFA sebelum ini mengenakan tindakan tegas tersebut terhadap FAM dan pemain-pemain terlibat atas kesalahan memalsukan dokumen kelayakan mewakili skuad kebangsaan.

Saifuddin turut mempersoalkan kesahihan kenyataan yang dikeluarkan, memandangkan struktur kepimpinan FAM kini sedang kosong.

“Apabila seluruh Exco sudah letak jawatan pada 28 Januari lalu, hanya Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Rahman yang tinggal di pejabat. Jadi bila ada kenyataan keluar bagi ‘pihak FAM’, orang akan tertanya-tanya—itu sentimen siapa? Siapa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘kami’?” soal beliau.

Tambah beliau lagi, tindakan menunjukkan rasa kecewa secara terbuka hanya akan memakan diri sendiri.

“Kalau kita asyik tunjuk rasa kecewa dan terus-menerus bagi komen, ia cuma akan memburukkan keadaan. Lebih baik kita terima dulu keputusan itu dan tunggu laporan penuh. Selepas itu, barulah rujuk jawatankuasa perundangan untuk tindakan seterusnya.”

Saifuddin memberi amaran bahawa tindakan mencabar keputusan itu secara berlebihan akan memberi imej buruk, seolah-olah badan bola sepak negara cuba melawan saluran undang-undang yang sudah ditetapkan.

“Orang akan nampak kita ibarat ‘menegakkan benang yang basah’, cuba menghalalkan sesuatu yang memang jelas salah,” tegas beliau.

Walaupun kemelut ini telah menjejaskan pentadbiran bola sepak negara sejak beberapa bulan lalu, Saifuddin menegaskan tumpuan kini perlu beralih kepada usaha membina semula sukan ini.

“Benda sudah jadi. Apa yang penting sekarang adalah untuk terus pandang ke depan. Saya yakin banyak masa sudah terbuang sepanjang krisis ini tanpa ada kemajuan dalam pembangunan bola sepak.”

Beliau turut menyifatkan moral di dalam organisasi mungkin sedang jatuh merudum, dan sekarang adalah masa untuk bangkit semula serta memperbaiki segala kelemahan.

Saifuddin optimis AFC akan membantu membimbing semula bola sepak Malaysia, asalkan pemimpin baru yang datang sedia menerima teguran dan tunjuk ajar.

“AFC akan bimbing mereka ke jalan yang betul, tapi mereka kenalah ikut. Kalau ada cikgu tapi anak murid tak mahu dengar, tak ada gunanya juga.”

RELATED ARTICLES

Most Popular