Impian beraksi di Piala Dunia bukanlah mustahil untuk direalisasikan, tetapi lebih baik ia berlaku mengikut proses dan perancangan yang betul.
Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Sulaiman Hussin berkata beliau mengagumi usaha Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membawa masuk individu-individu berkaliber dan berwawasan tinggi seperti Rob Friend dan Craig Duncan untuk memacu revolusi Harimau Malaya.
Masing-masing sudahpun memberitahu sasaran yang ditetapkan dengan Friend menyatakan impiannya adalah membawa Malaysia beraksi di Piala Dunia manakala Duncan mahu menjadikan Harimau Malaya pasukan paling cergas di Asia.
Baca Juga: Friend dan Duncan Diminta Tidak Sembang Kosong
Justeru Sulaiman menegaskan perancangan sistematik dan konsisten adalah penting untuk merealisasikannya.
“Apapun yang dilakukan, perlulah melalui proses tertentu di mana perancangan jangka panjang yang betul dan tepat diperlukan. Namun sebelum Piala Dunia, saya lebih mahu melihat kita menakluk Asia Tenggara terlebih dulu, kemudian ke peringkat Asia sebelum dunia.
“Revolusi yang sedang diusahakan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan membawa masuk pakar dari luar cukup baik dan harus disokong. Kita harap perancangan untuk melonjakkan pasukan akan berjaya,” katanya kepada Arena Metro.
Sulaiman yang juga bekas ketua jurulatih UKM FC dan pernah mengetengahkan ramai bakat-bakat muda IPT ke Liga Malaysia turut berpendapat bahawa perancangan membawa masuk tujuh pemain warisan dari Eropah Selatan ditambah dengan sentuhan dua bakal pemain naturalisasi Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo mampu melonjakkan lagi prestasi skuad Harimau Malaya.
Malaysia Ke Piala Dunia, Angan-Angan Mat Jenin
Bagi bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar pula, impian untuk melangkah ke Piala Dunia tidak ubah seperti angan-angan Mat Jenin jika bersandarkan kepada pemain sedia ada.
Menurutnya, skuad Harimau Malaya perlu mempunyai pemain gred ‘A plus’ jika mahu menjejakkan kaki ke pentas Piala Dunia dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.
“Nak lahirkan pemain gred ‘A plus’ ini bukannya mudah kerana saya pernah menyertai kursus bersama kelab Chelsea dan mereka memaklumkan jika mahu melahirkan pemain seperti kapten England John Terry memerlukan sekurang-kurangnya 10,000 pelapis bertaraf gred A.
“Pemain gred A mungkin mudah untuk cari namun ‘A plus’ atau bertaraf Piala Dunia boleh dikatakan agak mustahil untuk bawa mereka beraksi bersama skuad Harimau Malaya.
“Jika bersandarkan kepada 22 pemain untuk skuad Harimau Malaya, kita memerlukan 200,000 pelapis gred A untuk dipilih mengisi posisi itu.
“Pada masa sama, persoalan juga timbul jika kita dapat mencari pemain kacukan gred ‘A plus’ di luar negara belum tentu mereka mahu mewakili Malaysia,” katanya.