Pengendali KL City, Risto Vidakovic mengakui dia sudah berputus asa dengan peluang kelab itu untuk mengatasi sekatan perpindahan FIFA di jendela perpindahan ini.
Jurulatih dari Bosnia itu tidak menjangkakan kelab mampu menyelesaikan masalah berkenaan sebelum jendela perpindahan kedua Liga Malaysia ditutup pada Sabtu (31 Januari).
“Saya tidak fikir kami akan melakukan apa-apa kerana hanya berbaki dua hari sahaja. Saya rasa tiada siapa pun cuba, ambil usaha untuk melakukan sesuatu,” kata Vidakovic, meluahkan kekecewaannya di pusat latihan Persada Plus di Petaling Jaya.
“Jadi kami tidak mengharapkan banyak daripada pihak kelab. Kami perlu terus melangkah dengan apa yang ada. Ia sangat sukar kerana kami kehilangan dua pemain berbanding sebelum ini. Tetapi kami masih ada motivasi untuk terus berjuang.”
Vidakovic merujuk kepada kehilangan pemain tengah Syamer Kutty Abba, yang tempoh pinjamannya bersama KL City ditamatkan oleh pendahulu Liga Super, JDT. Manakala pemain sayap Haqimi Azim Rosli pula menyertai JDT sebelum dipinjamkan ke Terengganu.
Sekatan perpindahan selama tiga jendela itu dikenakan oleh FIFA ke atas KL City kerana gagal membayar tunggakan gaji bekas jurulatih penjaga gol Guilherme Almeida, bekas jurulatih Miroslav Kuljanac dan pertahanan Montenegro, Adrijan Rudovic.
KL akan bertandang ke Selayang untuk berdepan pasukan tercorot liga, PDRM, lima hari selepas memerlukan masa tambahan untuk menewaskan Perak 3-0 di Cheras dalam perlawanan timbal balik pusingan pertama Piala Malaysia.
“Selepas perlawanan yang sampai ke masa tambahan, saya fikir pemain perlukan lebih masa untuk pemulihan. Jadi ia agak singkat, tetapi begitulah keadaannya. Saya rasa tempoh itu sudah mencukupi untuk pulih,” kata Vidakovic.
“Kami hanya menumpukan hari-hari ini kepada pemulihan dan bersedia untuk bermain. Kami tidak mempunyai ramai pemain. Keadaan kami masih sama seperti sebelum ini. Saya berharap kami ada dua hari lagi tetapi kami tidak mempunyai banyak pilihan.”
KL tidak pernah menewaskan PDRM dalam tujuh perlawanan liga di Stadium Selayang sejak 2003, namun penjaga gol Quincy Kammeraad berharap dapat mencipta sejarah.
“Saya rasa pasukan ini mampu melakukan lebih daripada apa yang telah kami tunjukkan. Saya baru tahu bahawa kami tidak pernah bangkit dalam Piala Malaysia selepas tewas 2-0 pada perlawanan pertama,” kata Kammeraad, yang merekodkan clean sheet ketujuh musim ini ketika menentang Perak.
“Jadi satu lagi rekod, seperti memenangi perlawanan pertama liga? Jika kami sudah memecahkan rekod, apa salahnya kami pecahkan satu lagi tahun ini.”



