Pengkritik bola sepak, Datuk Pekan Ramli, mempersoalkan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membuat rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas FIFA mengekalkan hukuman berat dalam skandal pemalsuan dokumen.
Jawatankuasa Rayuan FIFA pada Isnin, menolak rayuan FAM dan mengekalkan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta) terhadap badan induk itu, manakala tujuh pemain — Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel — masing-masing didenda CHF2,000 dan digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi, berkata pihaknya terkejut dengan keputusan terkini FIFA dan akan menunggu penjelasan penuh bertulis sebelum memfailkan rayuan ke CAS.
Namun, Pekan berkata beliau hairan dengan keengganan FAM menerima keputusan tersebut, menyifatkannya sebagai kes yang sudah jelas diputuskan.
“Kita kena terima hakikat bahawa kita sudah kalah 2-0 kepada FIFA dalam kes ini. Mereka ada bukti yang kukuh. Apa yang mengejutkan saya ialah FAM masih tidak mahu mengakui bahawa mereka telah melanggar peraturan FIFA,” katanya kepada NST Sports.
Beliau menggesa badan induk itu supaya tidak terus memanjangkan isu berkenaan dan sebaliknya bergerak ke hadapan.
“Nampak macam kita nak salahkan orang lain. Tak perlu tambah drama lagi. Sampai bila kita nak tarik isu ini?”
Pekan percaya orang ramai juga tidak akan menyokong tindakan rayuan tersebut, sambil menyifatkannya sebagai satu pembaziran masa dan wang dengan peluang untuk menang yang sangat tipis.
“Kalau buat tinjauan awam, saya rasa kebanyakan orang akan kata ini satu pembaziran. Peluang FAM untuk menang di CAS sangat kecil,” katanya.
Walaupun mengakui bahawa FAM mungkin mahu mempertahankan tujuh pemain yang digantung itu, beliau menegaskan bahawa akauntabiliti mesti diutamakan.
“Mungkin FAM mahu tunjuk sokongan kepada pemain supaya mereka tidak rasa ditinggalkan. Tapi fakta tetap fakta — matlamat tidak menghalalkan cara. FAM mesti terima keputusan FIFA dan perbaiki bola sepak kita,” katanya.
“Mereka yang terlibat perlu bertanggungjawab atas kesilapan masing-masing dan jangan bawa budaya penafian ini ke dalam sukan.”
Pekan turut menggesa ketelusan penuh daripada jawatankuasa bebas yang ditubuhkan oleh FAM untuk menyiasat kes tersebut, dengan menegaskan bahawa mereka yang bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan.
“Semua pihak yang terlibat mesti ambil tanggungjawab. Siapa yang mula projek ini? Ada laporan mengatakan ejen yang bawa masuk pemain-pemain ini — adakah mereka benar-benar berani sampai sanggup palsukan dokumen?” katanya.
“FAM sudah bentuk jawatankuasa bebas, tapi kita masih tak tahu sejauh mana ia boleh bongkar perkara sebenar.”



