HomeRencanaTindakan FAM Gantung KAFA Timbulkan Banyak Persoalan

Tindakan FAM Gantung KAFA Timbulkan Banyak Persoalan

Apakah terdapat foulplay di dalam tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggantung keahlian Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA)?

Itu persoalan yang timbul setelah mendengar penjelasan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah yang jelas terkejut dan kecewa dengan keputusan itu.

Berita Berkaitan: Giliran Persatuan Bolasepak Kelantan Digantung

FAM pada Selasa memaklumkan KAFA digantung keahlian susulan aduan terhadap tatacara Kongres Tahunan KAFA kali ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA bagi sesi 2024-2028 pada Julai lalu, yang tidak teratur dan tidak mengikut prosedur.

Menerusi laporan disiarkan Arena Metro, Afandi menegaskan pihaknya sudah mengikut saluran betul dengan mengemukakan maklumbalas babitkan penjelasan penuh berhubung aduan ataupun perkara yang dibangkitkan itu.

Jelas Afandi, beliau terkejut dengan penerimaan notis itu dan menyifatkan ia dibuat secara terburu-buru termasuk surat penggantungan berkenaan dikeluarkan pada Sabtu lalu iaitu pada cuti mingguan dan pejabat FAM juga bercuti pada hari itu.

Malah, justifikasi dan tindakan lanjut yang perlu diambil khususnya peluang untuk membuat rayuan juga tidak dimaklumkan seolah KAFA tidak dibenarkan untuk merayu terhadap keputusan itu.

“Surat keputusan tersebut juga mengelirukan dan tidak jelas tentang tindakan selanjutnya yang perlu diambil. Dalam notis penggantungan itu, status KAFA tidak aktif dan tidak boleh berfungsi.

“Jika kongres itu tidak sah, sepatutnya Jawatankuasa Eksekutif KAFA sebelum Kongres Ke-65 masih sah dan masih berfungsi kerana surat FAM hanya menyatakan bahawa Kongres Kali Ke-65 sahaja yang tidak sah, bukannya persatuan KAFA itu tidak sah.

“Dalam surat tersebut juga tidak menyatakan tentang hak kami sebagai ahli untuk membuat rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan. Oleh itu kami berharap, KAFA diberi peluang untuk membuat rayuan terhadap keputusan ini sebagaimana tercatat dalam statut FAM,” katanya.

Cubaan Halang KAFA Hadir Kongres FAM?

Ditanya adakah ini langkah untuk menghalang KAFA daripada hadir sebagai delegasi dan mengundi pada Kongres Pemilihan FAM pada 15 Februari ini, beliau enggan mengulas dan berharap FAM terbuka dalam meraikan pertandingan secara adil.

“Saya tidak mahu menimbulkan andaian atau spekulasi, tetapi keputusan mereka menggantung KAFA dilihat agak terburu-buru.

“Paling tidak difahami, kami dimaklumkan oleh badan pendengaran aduan pada 4 Disember lalu yang sebarang keputusan hanya akan dibuat oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) sahaja.

“Kiranya pendengaran aduan adalah untuk kami memberi hujahan di mana kami sediakan dokumen terperinci kepada pihak Jawatankuasa Pertikaian Dalaman untuk diserahkan kepada PJS.

“Tetapi lain pula apabila FAM sendiri memutuskan untuk menggantung kami dan ia macam tergesa-gesa. Saya ada memohon FAM untuk memberi penjelasan tentang perkara ini dan kegagalan menjawab seolah memberi kesimpulan bahawa perwakilan KAFA tidak boleh hadir ke Kongres FAM Februari ini,” katanya.

Untuk rekod, kes sama pernah dihadapi Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) pada 2022 lalu namun waktu itu FAM tidak menggantung PAFA sebaliknya ia PJS yang mengumumkan untuk menggantung PAFA.

Ketika itu, mengeluarkan notis tunjuk sebab dalam tempoh 14 hari terlebih dahulu, sebelum disusuli tempoh enam bulan penggantungan bagi membolehkan pemilihan jawatankuasa baharu dibuat.

“Saya enggan ulas lebih lanjut. Tapi sebelum ini sudah ada kes yang berlaku tetapi tidak digantung oleh FAM sebaliknya PJS. Sebab KAFA berdaftar di bawah PJS dan kami hanya ahli gabungan.

“Apa yang dinyatakan kesalahan itu bukanlah jenayah, sebaliknya babitkan tatakelola saja yang sudah pun kami jelaskan dalam hujahan kami. Patutnya PJS yang ada kuasa menggantung,” kata Afandi lagi.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!