HomeSukanTMJ Dedah Video 'Basuh' Pemain Selepas Tewas Kepada Buriram

TMJ Dedah Video ‘Basuh’ Pemain Selepas Tewas Kepada Buriram

Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dikenali dengan sikap positif dan tidak pernah sesekali mengalah atau berputus asa dengan apa yang baginda usahakan.

Pemilik kelab JDT itu sentiasa menjadi inspirasi, teladan dan memberikan contoh yang baik kepada pemain. Baginda juga sering menekankan pentingnya untuk tidak berasa selesa atau cepat berpuas hati dengan kejayaan-kejayaan yang telah dikecapi kelab itu.

Terbaru, Tunku Ismail mendedahkan satu video ekslusif baginda meluangkan masa bertemu pemain di bilik persalinan selepas perlawanan menentang Buriram United dan sebelum perlawanan menentang Kelantan TRW.

Dalam video tersebut, TMJ bertanya kepada beberapa pemain apa perasaan mereka selepas kekalahan kepada Buriram United (separuh akhir pertama Piala Shopee), dengan rata-ratanya meluahkan rasa kecewa.

Baginda kemudian ‘membasuh’ kekecewaan dan rasa down para pemain, memberikan mereka nasihat kehidupan dan mengajar bagaimana untuk sentiasa bermentaliti ‘anak jantan’.

“Kita adalah pasukan yang sangat berjaya, kelab yang sangat berjaya. Kita menang banyak trofi, tetapi itu tidak menjadikan kita anak jantan. Kamu tahu apa yang membentuk seorang anak jantan? Kamu tahu apa yang membentuk seorang pahlawan?

“Bukan trofi yang kita ada, bukan kerana kita sentiasa menang, tetapi bagaimana kita bangkit setiap kali kita jatuh. Musim ini panjang, dan kamu akan melalui banyak perlawanan. Hidup pun sama – ada masa di atas, ada masa di bawah. Kadangkala hidup memang begitu, hidup akan menghentam kamu tepat di muka.

“Tetapi apa yang menjadikan kamu seorang anak jantan ialah, setiap kali kamu dihentam, kamu bangkit semula. Ingatlah dalam karier kamu sebagai atlet, kalau bukan penyokong yang mengingati nama kamu, biarlah orang yang kamu sayang mengingatinya.

“Satu hari nanti kamu semua akan ada anak, sama ada lelaki atau perempuan. Pastikan mereka ingat satu perkara: ‘Ayah saya tak pernah mengalah’. Setiap kali kita jatuh, kita bangkit semula. Itulah kehidupan. Dalam kelab ini, itulah diri kamu. Kerana itulah diri saya, dan itulah yang kamu semua perlu jadi.

“Ia bukan hanya tentang cerita indah, kejayaan dan kemenangan semata-mata. Tidak. Ia tentang apabila kita berdepan kesusahan, kita bangkit. Lagi, dan lagi, dan lagi. Itulah yang menjadikan kita anak jantan. Itulah yang menjadikan kita pahlawan, dan itulah bagaimana kita mahu anak-anak mengingati kita,” tegasnya.

Baginda mahu apa yang dikongsikan ini bukan sahaja diingati untuk satu dua perlawanan, tetapi tersemat sehingga ke bila-bila dalam diri setiap pemain.

RELATED ARTICLES

Most Popular