HomeSukan"TMJ Hidup di 2055" - Xisco Munoz

“TMJ Hidup di 2055” – Xisco Munoz

Pengendali JDT, Xisco Munoz menyifatkan dominasi mutlak kelab itu dalam kancah bolasepak domestik dan kejayaan demi kejayaan yang dilakar dipacu oleh seorang boss yang hidup di tahun 2055 – iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).

Munoz berkata visi jangka panjang TMJ, sikap tidak mudah berpuas hati, dan keghairahan baginda untuk sentiasa menapak ke hadapan merupakan teras yang membentuk setiap aspek struktur bola sepak Harimau Selatan.

“Kami sangat bertuah kerana mempunyai seorang bos. Beliau seolah-olah hidup di tahun 2055. Beliau telah memajukan bola sepak, memajukan kelab, dan memperbaiki setiap aspek. Setiap hari, TMJ mahukan yang terbaik untuk pasukan.

“Beliau mahukan yang terbaik untuk pemain, untuk bola sepak, dan sentiasa berusaha mencapai tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.

Jurulatih dari Sepanyol itu turut berkata kebangkitan JDT sepanjang sedekad lalu — daripada dominasi domestik kepada pencabar tetap di Asia — adalah hasil langsung daripada visi tersebut.

“Jika anda beritahu saya 10 atau 12 tahun lalu, ketika beliau mula terlibat dalam bola sepak, bahawa kami akan bermain di Arab Saudi menentang kelab-kelab terbaik dengan kekuatan kewangan besar… di sebalik semua ini, ada kerja keras yang sangat banyak. Sekarang, kami bertuah dapat berada di tahap ini dan menikmati situasi ini,” katanya.

Walaupun mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas KL City dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium KLFA pada Jumaat, Munoz menegaskan bahawa keputusan bukanlah obses utama pasukan.

Sebaliknya, fokus mereka kekal kepada disiplin, intensiti dan penambahbaikan berterusan — sebagai persediaan menghadapi cabaran Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE), di mana kesilapan kecil boleh membawa padah.

“Apabila anda berada di tahap ini, anda tidak boleh melakukan walau satu kesilapan — walaupun sesaat — kerana pasukan-pasukan ini sangat berbahaya. Ia satu cabaran besar, tetapi kami kekal positif dan akan terus memberikan yang terbaik.” kata Munoz.

RELATED ARTICLES

Most Popular