HomeSukan"Tolong Selesaikan Tunggakan Sebelum Tutup Kedai"

“Tolong Selesaikan Tunggakan Sebelum Tutup Kedai”

Keputusan First Instance Body (FIB) Malaysian Football League untuk tidak memberikan lesen kebangsaan kepada kelab bermasalah, Kelantan The Real Warrior bagi musim 2026/2027 disifatkan sebagai keputusan tepat.

Bagaimanapun, kelab itu diingatkan supaya tidak lari daripada tanggungjawab mereka dalam menyelesaikan hutang dan tunggakan gaji kepada barisan pemain dan pegawai pasukan sebelum ‘tutup kedai’.

Penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli berkata masalah tunggakan gaji KTRW musim ini dapat dielakkan sekiranya dari awal kelab itu tidak diberikan lesen, namun tetap memuji FIB kerana akhirnya tegas dalam pendirian mereka meskipun ini bermakna jumlah pasukan yang akan bertanding musim depan akan berkurangan.

“Memang ini keputusan paling tepat, ibarat gagal semua subjek dalam peperiksaan, jadi tidak perlulah buat semakan semula.

“Tindakan tegas FIB ini diharapkan konsisten dan perlu diambil tanpa ada sebarang toleransi lagi biarpun jumlah pasukan yang mendapat lesen beraksi musim depan terpaksa berkurangan.

“Saya jangkakan pengurusan kelab yang baharu ini akan dapat memulihkan kembali pasukan selepas bergelut nyawa-nyawa ikan apabila diberikan peluang sekali lagi, malangnya penyakit yang sama berulang juga musim ini.

“Apapun, Kelantan TRW perlu selesaikan masalah ini (tunggakan gaji). Jadilah contoh pasukan seperti FELDA United dan KL Plus, walaupun tidak beraksi di Liga Super seperti mereka tiada isu hutang tertunggak sehingga menjadi kes FIFA,” katanya dipetik dari laporan BH Sukan.

Untuk makluman, FIB pada Isnin lalu memaklumkan bahawa Kelantan TRW tidak diberikan lesen kebangsaan kerana permohonan yang dikemukakan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan di bawah Peraturan Pelesenan MFL.

Tujuh kelab Liga Super berjaya mendapatkan lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan kebangsaan iaitu Johor Darul Ta’zim FC, Kuching City FC, Selangor FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC dan Sabah FC.

Empat kelab pula diberikan lesen kebangsaan dengan ‘sanction’ iaitu Imigresen FC, Melaka FC, Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC.

Sementara empat pasukan Liga A1 Semi-Pro pula mendapat lesen kebangsaan luar biasa iaitu Kelantan Red Warrior FC, UM Damansara United FC, Armed Forces FC dan Bunga Raya FC.

Manakala DPMM FC yang berpangkalan di Brunei tidak perlu memohon lesen kebangsaan kerana status mereka sebagai pasukan jemputan Liga Super.

RELATED ARTICLES

Most Popular