Tujuh pemain warisan yang sebelum ini digantung selama 12 bulan, boleh kembali beraksi setelah Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan dikemukakan tujuh pemain itu.
Perkara itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia dalam satu kenyataan ringkas. Bagaimanapun FAM tidak memberitahu jika tujuh pemain itu boleh menyarung jersi Harimau Malaya atau sekadar bermain dengan kelab masing-masing sehingga keputusan muktamad dibuat CAS.
“CAS telah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan (stay of execution) yang dikemukakan Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
“Keputusan ini bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bolasepak yang dikenakan oleh FIFA terhadap tujuh pemain Harimau malaya itu ditangguhkan buat sementara waktu.
“Mereka dibenarkan untuk meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti bolasepak sehingga keputusan muktama rayuan di CAS dibuat,” menurut kenyataan itu.
Sama ada mereka boleh menyarung jersi Harimau Malaya sepanjang Penangguhan Pelaksanaan, akan terjawab dalam tempoh terdekat namun yang pasti ia memberi kelegaan kepada pemain serta kelab yang diwakili mereka.
Tiga daripada mereka iaitu Jon Irazabal, Hector Hevel dan Joao Figueiredo beraksi untuk juara Liga Super iaitu JDT. Facundo Garces beraksi untuk Deportivo Alaves, Imanol Machuca bersama Velez Sarsfield, Rodrigo Holgado bersama America De Cali dan Gabriel Palmero pula bersama Unionistas de Salamanca.



