Tunggakan gaji dalam kancah bolasepak Malaysia tidaklah begitu serius dan hanyalah kes terpencil membabitkan satu-dua pasukan, demikian kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan kenyataan Presiden Malaysia Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.
Bercakap kepada pemberita, Datuk Ab Ghani menyatakan jumlah kes tunggakan gaji yang dilaporkan semakin berkurangan dan ini dibantu pelaksanaan sistem Financial Fair Play (FFP) yang dikuatkuasakan sepenuhnya musim ini.
“Kelab-kelab ketika ini berada di bawah FFP yang kita lancarkan secara serius dan 100 peratus untuk musim 2025/2026. Alhamdulillah, kelab-kelab pada hari ini kita pantau setiap bulan dan kita keluarkan laporan setiap tiga bulan sekali kepada kelab. Keadaan amat baik.
“Tidak banyak kes, cuma ada satu atau dua kelab sahaja yang masih berdepan isu gaji tertunggak, dan berdasarkan laporan diterima daripada FFP kelab-kelab ini sedang berusaha menyelesaikan tunggakan dalam masa sama mencari penaja baru untuk mengukuhkan kedudukan kewangan mereka,” kata beliau seperti dilaporkan Arena Metro.
Antara kelab yang dipercayai terpalit dengan tunggakan gaji adalah PDRM FC, Kelantan TRW serta KL City. Ini berdasarkan beberapa laporan media sebelum ini selain posting-posting daripada para pemain serta bekas jurulatih yang pernah viral.
Ini secara tidak langsung memberi kesan buruk kepada prestasi pasukan di mana PDRM FC ketika ini menghuni tangga tercorot dengan mencatat 13 kekalahan dan hanya satu kemenangan. Kelantan TRW pula di kedudukan kedua tercorot, tewas 13 daripada 15 perlawanan terakhir dan menang cuma sekali.
Malah pada November lalu, kedua-dua kelab ini didenda RM70,000 dan dikenakan larangan perpindahan pemain di jendela kedua Liga Malaysia berikutan kegagalan mematuhi arahan MFL berkaitan kewajipan menyerahkan Deklarasi Tunggakan atau Tiada Tunggakan serta laporan kewangan yang diperlukan.



