HomeSukanTunku Ismail Selar Pengkritik Sebagai Hipokrit

Tunku Ismail Selar Pengkritik Sebagai Hipokrit

Pemilik Johor Darul Takzim, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menyelar pengkritik bolasepak tanah air sebagai hipokrit dan ‘select’ dalam memberikan pandangan.

Baginda berkata pengkritik-pengkritik ini yang menggelarkan diri mereka ‘pakar’ hanya memilih isu tertentu untuk diulas dan dipersalahkan sebagai punca kejatuhan bolasepak tanah air seperti mutu pengadilan buruk dan kontroversi pemain warisan.

Tetapi tiada seorangpun yang membincangkan masalah sebenar yang mengganggu bolasepak negara daripada terus berkembang kerana masalah tersebut sebenarnya wujud dalam pasukan yang mereka sokong.

Tunku Ismail menjadikan konsistensi dan pencapaian JDT sebagai contoh bahawa bolasepak Malaysia tidak mati jika diurus dengan betul

“Presiden datang dan pergi, jurulatih datang dan pergi, pemain datang dan pergi, lawan datang dan pergi tetapi konsistensi JDT tidak boleh dinafikan. Rekod dan pencapaian di luar padang. Ada yang kononnya pakar cakap bolasepak Malaysia dah mati disebabkan isu mutu pengadilan dan isu pemain warisan.

“Mengapa tiada seorangpun yang cakap berkenaan krisis sebenar seperti pucuk kepimpinan lama badan induk tak beri hak siaran tv kepada pasukan bertanding? Mengapa tiada seorangpun bangkitkan isu Malaysia tiada pertandingan kompetitif untuk pembangunan belia.

“Mengapa tiada yang mempersoalkan bertahun-tahun isu tak bayar gaji dan kegagalan mengurus kewangan. Kenapa tiada yang mempersoalkan masih guna rumput lembu, stadium masih buruk, lampu limpah masih kuning? Mengapa tiada yang mempersoalkan pasukan tiada pusat latihan dah berpuluh tahun?

“Mengapa tiada yang digelar pakar tidak mempersoalkan isu ini? Kerana kebanyakan isu-isu ini wujud dalam pasukan yang mereka sokong. Jadi apa cara yang paling mudah untuk rabunkan mata penyokong?

“Tuding jari kepada isu lain, orang lain, supaya boleh tutup kelemahan dan kegagalan diri sendiri, kegagalan sahabat-sahabat mereka dalam pengurusan, kegagalan pasukan sendiri yang dah wujud berpuluh tahun. Hipokrit semata-mata,” kata Tunku Mahkota Ismail.

RELATED ARTICLES

Most Popular