Jangan sesekali mengambil mudah atau memandang enteng tuntutan dikemukakan Ultras Malaya, itu nasihat pemerhati dan penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli.
Memetik laporan BH Sukan, Pekan berpendapat Ultras Malaya mempunyai pengaruh besar dan tuntutan-tuntutan mereka ada asas untuk diberikan perhatian serius oleh pihak berkepentingan.
Malah, beliau menegaskan kumpulan penyokong tersebut bukan hanya bercakap dalam konteks bola sepak semata-mata namun turut membawa suara rakyat yang mahukan integriti dalam sukan itu terus terpelihara.
“Jangan ingat Ultras ini kelompok kecil. Mereka mewakili kumpulan yang lebih besar. Tuntutan mereka untuk membersihkan imej bola sepak negara itu ada asasnya.
“Apa sahaja tuntutan mesti ada tindakan. Jangan anggap ini perkara kecil kerana impaknya besar. Mereka ada keupayaan untuk mempengaruhi dan menggerakkan penyokong.
“Dalam pembangunan bola sepak, semua pihak ada peranan. Ultras Malaya memainkan peranan mereka, jadi kita juga perlu menghormati dan mendengar.
“Saya menghormati kehendak Ultras Malaya sebab mereka adalah tulang belakang sokongan kepada Harimau Malaya. Apa yang disuarakan itu perlu diberi perhatian, jangan anggap masuk telinga kiri keluar telinga kanan.
“Mungkin ada yang menganggap mereka ini sekadar hangat-hangat tahi ayam, hakikatnya mereka ada pengaruh. Kalau penyokong sebagai pemegang taruh utama tidak hadir ke stadium, apa maknanya pengurusan yang hebat sekalipun?” ujarnya.
Untuk makluman, Ultras Malaya dalam satu kenyataan pada Jumaat, melaksanakan ‘boikot fasa 1’ terhadap pasukan kebangsaan yang mana mereka akan memboikot semua perlawanan membabitkan Harimau Malaya berkuat kuasa serta-merta.
Ia sebagai tindakan susulan terhadap tiga tuntutan yang sudah dibentangkan mereka kepada umum pada 13 April lalu, iaitu : menarik balik kerakyatan tujuh pemain warisan ‘palsu’ yang sedang digantung FIFA, pulangkan pengurusan Harimau Malaya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan laksanakan reformasi bola sepak Malaysia.
Pastinya, tanpa Ultras Malaya, pasukan kebangsaan tempang dan ibarat Pasukan Kelainan Upaya (PKU).



