Selangor FC sudahpun ada senarai pendek (shortlist) pemain-pemain import berkualiti tinggi untuk dibawa masuk bagi memperkuatkan cabaran musim baru Liga Malaysia.
Menurut Dr Johan Kamal Hamidon (CEO Selangor FC) kepada Arena Metro, proses pencarian pemain berjalan sepanjang tahun menerusi jabatan pencari bakat (scout).
Tegasnya lagi, Red Giants mempunyai senarai panjang pemain import berpotensi dari pelbagai posisi, namun keputusan sama ada mahu mendapatkan mereka atau tidak, masih belum dimuktamadkan kerana keutamaan diberikan kepada pemain sedia ada.
“Ketika ini kami fokus secara dalaman, dari segi ‘scouting’ memang kita buat sepanjang tahun kerana kita ada ‘department’ khas untuk itu. Kita belum mula ‘engage’ atau berhubung lagi (dengan pemain-pemain ini), tetapi kita sudah ada ‘shortlist’ pemain bagi setiap posisi. Itu memang usaha harian kami.
“Bagaimanapun, buat masa ini, penilaian masih tertumpu 100 peratus kepada pemain sedia ada yang mungkin kita sambung kontrak,” katanya.
Kata-kata Johan Kamal memberi indikasi bahawa Selangor tidak sekadar mencari import tangkap muat untuk mencukupkan skuad, sebaliknya berhati-hati agar import yang dibawa masuk benar-benar boleh memberikan impak.
Apatah lagi, mereka seringkali menjadi sasaran kritikan penyokong dan pemerhati kerana rancak menukar import namun tidak membawa sebarang hasil.
Untuk musim semasa yang semakin menghampiri penghujung, Selangor mempunyai 11 pemain import iaitu Noor Ali Al Rawabdeh, Mohamed Majed Abualnadi, Vitor Pernambuco, Hugo Boumos, Kim Jiho, Mamadou Diarra, Richmond Tetteh Ankrah, Alvin Fortes, Safuwan Baharudin, Alex Agyarkwa dan Chrigor Moraes.



