HomeSukanUnited, Spurs Tak Wajar Layak Ke UCL Walaupun Juarai Liga Europa

United, Spurs Tak Wajar Layak Ke UCL Walaupun Juarai Liga Europa

Manchester United atau Tottenham Hotspurs tidak sepatutnya dibenarkan bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan walaupun mereka menjuarai Liga Europa.

Demikian pendapat disuarakan bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang menegaskan peraturan Uefa yang membolehkan pemenang Liga Europa layak ke UCL sebagai tidak wajar.

Bercakap kepada BEin Sports, ini komen Wenger: Tidak. Mereka sepatutnya layak secara automatik ke Liga Europa (jika bergelar juara), tetapi tidak ke Liga Juara-Juara.

“Terutamanya apabila anda berada dalam Liga Perdana Inggeris di mana lima pasukan sudah pun layak. Saya rasa ini sesuatu yang Uefa perlu fikirkan dan kaji semula.

“Sebaliknya, orang akan berkata untuk mengekalkan fokus dan motivasi dalam Liga Europa, anda perlu menawarkan ganjaran itu [Liga Juara-Juara].”

United dan Spurs dijangka bertemu dalam perlawanan akhir di Bilbao pada 21 Mei selepas masing-masing memperoleh kelebihan agregat menjelang aksi separuh akhir kedua, awal pagi Jumaat ini.

Skuad kendalian Ruben Amorim membelasah Athletic Bilbao 3-0 di tempat lawan, manakala Spurs menewaskan kelab Norway, Bodo/Glimt 3-1.

Namun, kedua-dua kelab kini sudah pasti menamatkan musim di luar zon kelayakan Eropah Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan United di tangga ke-15 dan Spurs di tangga ke-16.

Sejak penjenamaan semula Liga Europa, pertandingan kelab benua kedua terbesar Uefa, pada musim 2009-10, tiada pasukan yang berada di bawah tangga ke-12 liga domestik mereka berjaya mara ke final atau menjuarainya.

Sevilla yang menamatkan saingan LaLiga di tangga ke-12, menjulang trofi itu pada 2023, manakala Fulham juga tangga ke-12 EPL pada 2009-10 tewas di final kepada Atletico Madrid.

United memenangi Liga Europa pada 2018 ketika musim pertama Jose Mourinho sebagai pengurus dan layak ke Liga Juara-Juara walaupun menamatkan liga di tangga keenam.

Selepas kekalahan 3-4 kepada Brentford pada Ahad, kekalahan liga ke-16 musim ini, Amorim mengakui fokus pasukannya kini hanya tertumpu kepada Eropah.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!