AFC merancang untuk menambah bilangan pasukan yang bersaing di Asia Champions League Elite (ACLE) daripada 24 pasukan kepada 32 pasukan bermula musim 2026/27.
Ini sekaligus membuka peluang menyaksikan lebih banyak kelab dari seluruh benua, termasuklah dari Liga Malaysia untuk beraksi di pentas tertinggi bolasepak Asia itu.
JDT merupakan wakil tunggal negara di ACLE sejak ia dijenamakan semula pada musim 2024/25 namun sekiranya cadangan memperluaskan bilangan pasukan mendapat lampu hijau, maka Malaysia berpotensi menambah wakil menerusi format “1+1” – satu slot automatik dan satu slot play-off.
Begitupun pengkritik bolasepak tanah air, Sadek Mustaffa berpendapat tiada guna untuk ghairah mengejar slot bermain di ACLE pada ketika kedudukan kewangan kritikal membataskan kemampuan dan menghimpit hampir semua kelab tempatan.
“Sebelum melihat kepada ACLE, kita perlu melihat kepada Liga Malaysia dan mengukuhkannya. Kita telah melihat JDT berusaha dan berbelanja besar, dan hanya musim ini mereka berjaya mara ke suku akhir ACLE,” katanya seperti dilaporkan K.Rajan dari Timesport.
Sadek menambah bahawa kelebihan kewangan JDT telah mewujudkan jurang persaingan, sekali gus menyukarkan kelab lain untuk meningkat ke tahap lebih tinggi.
“Kita perlu melihat tahap daya saing Liga Malaysia. JDT mendominasi kerana kekuatan kewangan mereka. Polisi pemain import dalam Liga Malaysia jelas memberi kelebihan kepada mereka, selain memiliki sebahagian besar pemain naturalisasi negara.
“Bagi pasukan terbaik selepas JDT dalam Liga Malaysia seperti Selangor dan Kuching City, mereka perlu berfikir masak-masak sebelum membuat keputusan untuk bersaing dalam ACLE.
“Selangor dan Kuching City tidak seharusnya mengambil risiko besar. Kelab memerlukan pemain berkualiti dan ia bukan murah, jadi kewangan kelab mesti berada dalam keadaan kukuh,” tambahnya.
Sadek turut merujuk kepada kebimbangan yang disuarakan oleh Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, yang baru-baru ini menyorot ketidakteraturan dalam proses penswastaan Liga Malaysia.
Windsor menyatakan kelab mengambil masa lebih lama daripada jangkaan untuk menyesuaikan diri dengan status profesional. Justeru Sadek berkata kelab seperti Kuching City khususnya mungkin memerlukan lebih masa untuk matang sebelum beraksi di pentas elit Asia.
“Bagi Kuching City, mereka masih belum cukup matang sebagai kelab yang agak muda. Mereka perlukan lebih masa untuk membina penyokong, infrastruktur kelab yang baik serta kewangan yang stabil untuk bersaing dalam ACLE.
“Untuk bersaing dalam ACLE, kelab Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya lima musim strategi dan keputusan yang kukuh,” katanya.



