Bekas pemain sayap Arsenal, Theo Walcott berpendapat Mikel Arteta sedang melakukan kesilapan dalam menguruskan karier pemain muda, Ethan Nwaneri.
Nwaneri, berusia 17 tahun, disebut sebagai bintang masa depan di Emirates, dan ketika ini dianggap antara pemain muda paling menonjol di England.
Walcott yang bersama Arsenal selama 12 musim, berkata Nwaneri sepatutnya diberi lebih minit permainan, terutama ketika ketiadaan Martin Odegaard tempoh hari akibat kecederaan.
Baginya, Nwaneri terlalu muda bukan alasan, malah dia yakin pemain itu mempunyai kebolehan dan pengalaman secukupnya untuk memberikan impak.
“Untuk mengatakan dia masih muda, tidak mahu berikan tekanan adalah tidak betul. Dia ada lebih pengalaman bermain di tahap tinggi berbanding saya pada usia ini. Dia bermain secara konsisten bersama mereka.
Baca juga: Declan Rice Tidak Pernah Terfikir Mahu Tinggalkan Kekasih
“Jujur saya kata, ketika Odegaard cedera, saya mahu lihat dia diberi lebih banyak peluang. Dia seorang yang berbeza, Arsenal perlukan seorang yang berbeza untuk cuba hidup tanpa Odegaard.
“Saya bertuah diberikan kepercayaan itu oleh Arsene Wenger pada waktu itu. Nwaneri mempunyai sesuatu yang lebih dari saya, terlalu berhati-hati hanya akan membantutkan keghairahan dia,” ujar Walcott.
Arteta terlalu berhati-hati
Arteta pula merasakan, tindakan terlalu berhati-hati itu mungkin nampak kolot tetapi sedang membuahkan hasil.
“Saya faham, semua teruja dengan apa yang mereka lihat dalam diri dia. Tetapi saya bertanggungjawab terhadap dia.
“Ia adalah satu proses, nak buat rumah, kita susun bata demi bata, kemudian simen, sebelum simen kering, letak lagi bata, ulang sehinggalah ia melekat kukuh. Begitulah analoginya.
“Orang mula letak ekspetasi tinggi, yakin dia akan meletup. Tetapi percayalah ia tidak akan berkesan. Sudah ramai dilabel wonderkid, menyerlah satu dua musim kemudian hilang.
“Kita perlu bijak untuk menguruskan ekspetasi ke atas dia, dan seimbangkan tekanan ke atasnya, itu yang saya lakukan. Saya percaya ia dalam landasan yang baik, lihat bagaimana dia berkembang dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain.”
Arteta pada hakikatnya perlu diakui seorang yang agak sukar membangunkan pemain muda. Dia seperti mempunyai trust issue dengan mereka, maka tidak hairanlah ramai yang meninggalkan Emirates bagi mencari peluang di kelab lain.
Antaranya termasuklah Omari Hutchinson, Emile Smith Rowe, Balogun dan terbaru Chido Obi Martin yang menyertai Manchester United.