HomeSukanYusri Lega Bolos Hanya Lima Gol Kepada JDT

Yusri Lega Bolos Hanya Lima Gol Kepada JDT

Biarpun kalah besar kepada JDT dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, ia tetap menggembirakan pengendali Imigresen FC, Yusri Che Lah.

Yusri menyaksikan pasukannya dibelasah 5-0 namun di menerima kekalahan tersebut dengan cukup terbuka, menyedari jurang besar kualiti dengan pendahulu liga itu.

“Memang benar perancangan kita adalah untuk mengurangkan defisit gol dan apa yang ditunjukkan oleh pemain tidak cukup, tambah pula kualiti yang ada pada pasukan lawan adalah jauh daripada pasukan kami dan agak sukar buat kami beri tentangan.

“Kita kena sedar bahawa setiap kesilapan dan kelalaian atas padang, kita akan dihukum, itu yang berlaku untuk gol kedua dan gol terakhir. Mungkin mereka mampu jaring lebih banyak tapi tersekat di angka lima. Itu pun sudah memeritkan kami,” katanya.

Imigresen yang menduduki tangga kesembilan liga, pada awalnya dilihat mampu bertahan dengan baik dan hanya ketinggalan 1-0 sehingga sejam perlawanan berlangsung.

Mimpi ngeri mereka bermula pada minit ke-60 apabila Vinicius Milani tertolak bola ke gawang sendiri, disusuli jaringan Bergson da Silva dua minit kemudian untuk kedudukan 3-0.

Marcos Guilherme menjadikan kedudukan 4-0 sebelum Bergson melengkapkan kemenangan 5-0 yang juga kemenangan ke-16 berturut-turut skuad Harimau Selatan.

Bagi Imigresen, peluang terbaik mereka hadir pada awal babak pertama namun Nik Akif Syahiran Nik Mat gagal menyudahkan umpanan Joao Pedro.

Yusri bagaimanapun berpendapat, ada baiknya juga mereka tidak menjaringkan gol.

“Seandainya jaringan itu berlaku, kemungkinan nak menang susah dan mungkin juga kita akan dihujani dengan lebih banyak percubaan ke arah gol.

“Namun keadaan itu tidak berlaku, hanya itu peluang terbaik dapat dihasilkan, selebihnya, ia (bola) berada dalam kawasan kami. Saya harap pemain dapat bangkit untuk hadapi perlawanan Piala Cabaran nanti,” kata Yusri.

RELATED ARTICLES

Most Popular