HomeSukanZainal Abidin Bersuara, Buka Cerita Pasal Peletakan Jawatan

Zainal Abidin Bersuara, Buka Cerita Pasal Peletakan Jawatan

Selepas Dollah Salleh meluahkan rasa ‘geram’, giliran Zainal Abidin Hassan pula bersuara mengenai cadangan agar muka sama tidak bertanding dalam pemilihan Exco baru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Legenda bola sepak tanah air itu membidas pemerhati mahupun pengkritik yang mendakwa Exco FAM yang telah meletak jawatan beramai-ramai susulan skandal pemalsuan dokumen pemain warisan baru-baru ini tidak seharusnya kembali bertanding dalam pemilihan akan datang.

Zainal tidak bersetuju bahawa bekas Exco perlu “dibatalkan kelayakan” daripada bertanding, sambil menegaskan mereka yang pernah dilantik sebelum ini telah mendapat kepercayaan ahli gabungan.

“Orang yang kata individu ini tak boleh bertanding… mereka sepatutnya masuk pemilihan itu sendiri, bukan menyuruh orang lain jangan bertanding. Saya rasa ada yang terlupa atau tidak arif mengenai Statut FAM. Mereka yang memegang jawatan itu dipilih oleh ahli gabungan. Ini bermakna mereka mendapat kepercayaan dan dilihat mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan,” ujar Zainal seperti dilaporkan NST Sports.

Peletakan jawatan beramai-ramai Exco FAM itu dilihat sebagai langkah untuk mengelakkan tindakan lanjut FIFA, namun pengkritik beranggapan ia tidak membawa perubahan sekiranya individu sama kembali memegang jawatan.

Zainal menegaskan bahawa peletakan jawatan tersebut adalah satu pengorbanan, bukannya pengakuan kegagalan.

“Kami berkorban demi kebaikan bola sepak negara, demi FAM. Pengorbanan kami sepatutnya dihargai,” katanya, sambil menyifatkan langkah itu sebagai cara yang “bersih” bagi membolehkan siasatan dan pembaharuan struktur FAM diteruskan.”

Zainal yang hanya berkhidmat selama 11 bulan, berkata beliau dan beberapa Exco baharu lain dipaksa berdepan krisis yang bukan berpunca daripada mereka, lalu memilih untuk meletak jawatan secara sebulat suara demi menjaga integriti FAM.

“Saya masih baharu dalam FAM… tiba-tiba kes ini berlaku. Kami baca statut, baca semua undang-undang. Cara terbaik untuk membersihkan nama baik FAM adalah dengan meletak jawatan,” jelasnya.

Beliau turut menolak andaian bahawa Exco yang berundur kini sedang merancang untuk merebut semula jawatan lama mereka, dalam masa sama tidak menolak untuk kembali sekiranya merdapat kepercayaan daripada ahli gabungan.

“Kami tidak letak jawatan semata-mata untuk bertanding semula. Sama ada kami bertanding atau tidak, ia sepenuhnya keputusan ahli gabungan. Selagi ada kepercayaan kepada saya… saya tidak meminta, saya tidak memaksa. Jika dibuat dengan cara yang betul dan orang masih percaya, insya-Allah saya akan pertimbangkan,” katanya.

Zainal mengakhiri temu bual dengan satu pesanan tegas kepada pihak yang menggesa Exco lama berundur secara senyap.

“Kami berdiri sebagai satu pasukan untuk melakukan perkara yang betul. Kami sudah pun berkorban. Jangan keruhkan keadaan,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular