Zlatan Ibrahimovic dan kontroversi, sukar dipisahkan. Baik kerana mulutnya, mahupun kelakuannya, akan ada sahaja perkara diperkatakan mengenai pemain ini.
Tetapi ia tidak sama sekali mengubah hakikat akan kehebatannya di atas padang. Zlatan mengharungi karier cukup hebat, menyarung jersi kelab-kelab gergasi Eropah, menjulang himpunan kejuaraan dan meraih begitu banyak pengiktirafan peribadi.
Sering kali memukau penyokong dengan sentuhan akrobatik, jaringan-jaringan sensasi, teknik dan skill menarik, Zlatan adalah antara pemain cukup lengkap pernah disaksikan dunia.
Dalam autobiografi miliknya, Zlatan bercerita tentang satu insiden famous berlaku pada 2010, membabitkan dirinya ketika mewakili AC Milan dan Marco Materazzi (Inter Milan).
Materazzi terpaksa dikejarkan ke hospital setelah tidak sedarkan diri selama beberapa minit gara-gara diterajang dan disiku Zlatan dengan gaya ala taekwondo, dalam pertembungan derby Milan. Zlatan pula dilayangkan kad kuning.
Meskipun ketika itu dia menyatakan ia adalah perlanggaran tidak disengajakan, Zlatan mendedahkan sebenarnya dia memang berniat dan menyifatkannya dendam terbalas.
Zlatan dan Materazzi pernah sepasukan di Inter Milan dari 2006-2009, tetapi kedua-dua pemain ini pada hakikatnya tidak mempunyai hubungan yang baik. Masing-masing melihat satu sama lain sebagai musuh.
Lunas Dendam Empat Tahun
“Saya menunggu empat tahun untuk membalas dendam. Ada sebab saya begitu geram dan menunggu peluang itu tiba. Materazzi ni saya tahu seorang pemain yang agresif, tapi ada dua cara untuk menjadi agresif, satunya adalah agresif dengan niat mencederakan orang.
“Paolo Maldini pun seorang yang agresif, tetapi niat dia adalah lain. Materazzi pula kalau challenge bola, dia masuk membabi buta, dia tak kisah sauk bola atau sauk kaki,” ujar Zlatan.
Baca juga: Maldini Akui Dia Kegagalan Terbesar Dalam Sejarah Bolasepak
Menceritakan lebih lanjut: “Kejadian ni berlaku pada 2006, ketika saya bersama Juventus, dalam perlawanan menentang Inter. Dia mengasari saya dan saya terpaksa meninggalkan padang.
“Coach Fabio Capello nak keluarkan saya, saya kata nak terus bermain sebab nak balas balik. Saya memang jenis kalau orang buat saya, saya takkan lupa sampai bila-bila. Tapi malangnya masa tu saya tak dapat menahan kesakitan, tak dapat teruskan permainan.
“Musim berikutnya saya dan dia bermain dalam satu pasukan selama tiga musim, sebelum saya berpindah ke Barcelona . Apabila menyertai Milan, saya akhirnya mendapat peluang itu.
“Ia derby pertama untuk musim 2010/2011, semangat saya memang lain macam tapi saya tahu saya kena kawal diri. Jika tidak saya mesti akan lakukan sesuatu yang bodoh.
“Pada perlawanan itu saya berjaya mendapatkan penalti, siapa yang mengasari saya? Materazzi la siapa lagi.
“Kemudian di separuh masa kedua, saya nampak dia meluru ke arah saya, saya tahu ini mesti dia nak masuk membabi buta, apa lagi, saya bagi dia penerajang ala taekwondo pakej sekali dengan siku. Terus masuk hospital.
“Dejan Stankovic tanya kenapa saya buat macam tu, saya jawab empat tahun aku tunggu nak balas dendam. Padan muka, siapa suruh cari pasal.”
Dalam perjalanan panjang karier lebih 20 tahun, Zlatan turut pernah menyarung jersi Manchester United, Paris St Germain, LA Galaxy dan kembali ke Milan musim lalu sebelum mengumumkan bersara.