HomeSukan"6 Bulan Berlalu, Soalan Mudah Siapa Dalang Pun Tak Berjawab"

“6 Bulan Berlalu, Soalan Mudah Siapa Dalang Pun Tak Berjawab”

“Siapa dalang di sebalik pemalsuan dokumen pemain warisan?” – Jika selama ini, hanya pengkritik, pemerhati dan penyokong bolasepak tanah air yang bertanya, sekarang soalan sama ditanya wartawan penyiasatan terkemuka, Romain Molina.

Molina hairan kenapa dan bagaimana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh berkelakuan seperti tiada apa yang berlaku dan susah untuk menjawab soalan mudah itu meskipun sudah lebih enam bulan berlalu sejak FIFA menjatuhkan hukuman denda ke atas mereka dan menggantung tujuh pemain warisan selama 12 bulan.

“Lebih enam bulan berlalu, namun masih tiada siapa yang mampu menjawab satu soalan mudah: Siapa yang meluluskan perkara ini (penipuan) dalam FAM? Siapa yang mencetuskan idea untuk memalsukan dokumen?

“Budaya berdiam diri adalah sesuatu yang sudah sebati dalam bola sepak — terutamanya di Asia, harus saya katakan, memandangkan risiko dan implikasi politik yang wujud. Dan untuk percaya bahawa mereka yang bertanggungjawab hanya orang di dalam persatuan atau sekadar sebahagian daripada mereka yang meletakan jawatan adalah sesuatu yang terlalu naif: rangkaian ini bukan sahaja berkaitan bola sepak, tetapi juga politik,” ujar Molina.

Molina sebelum ini menjadi perhatian dan tumpuan penyokong bolasepak tanah air selepas mendakwa telah menerima ugutan saman daripada JDT berhubung posting yang ditulisnya tentang skandal ini. Namun dia memilih untuk tidak tunduk kepada ugutan tersebut.

Persoalan siapakah dalang di sebalik pemalsuan dokumen yang menjejaskan dengan teruk maruah Malaysia di mata dunia, telah dibangkitkan banyak kali, tetapi tiada siapa dari FAM mahu bersuara menyatakan kebenaran.

Ini menyebabkan pelbagai andaian dalam kalangan penyokong – ada yang menyalahkan ejen pemain, ada yang menyalahkan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, ada yang menyalahkan FAM, ada yang menyalahkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), ada yang menyalahkan Rob Friend dan pengurusan pasukan kebangsaan, tetapi ia kekal menjadi misteri sehingga ke saat ini.

Untuk rekod, pada November lalu, Jawatankuasa Rayuan FIFA dalam motivated decision setebal 63 muka surat menyenaraikan Nicolas Puppo dan Frederico Moraes sebagai individu yang terbabit dalam proses menyediakan dokumen kelayakan yang kemudian didapati palsu.

Pendedahan itu turut menjadi sebahagian daripada cadangan rasmi panel rayuan supaya FAM melaksanakan siasatan dalaman bagi mengenal pasti pihak yang terbabit sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

FIFA menegaskan pendedahan nama dua ejen itu bukan satu tuduhan, sebaliknya satu keperluan untuk proses siasatan susulan yang perlu dijalankan oleh badan induk bola sepak dunia itu sendiri.

Menurut dokumen itu, pembabitan tiga individu itu memerlukan penelitian lebih mendalam kerana mereka berada dalam rantaian proses yang membawa kepada wujudnya dokumen kelayakan palsu untuk tujuh pemain.

Jawatankuasa Rayuan FIFA menyatakan siasatan tambahan amat penting bagi memastikan semua individu terbabit dapat dikenal pasti dan tidak ada pihak yang terlepas daripada proses undang undang sukan.

Namun sejak itu, tidak ada apa-apa perkembangan, malah skandal ini seolah-olah cuba didiamkan meskipun ada laporan polis dibuat FAM melalui bekas Presiden, Datuk Yusoff Mahadi. PDRM juga katanya ada merakam percakapan beberapa individu tetapi akhirnya kes hilang ditiup angin begitu sahaja.

RELATED ARTICLES

Most Popular