Khabar gembira buat penyokong JDT menjelang aksi separuh akhir Piala Malaysia pada Jumaat, apabila ayam tambatan mereka Nacho Mendez dilihat sudah kembali pulih daripada kecederaan dan berpotensi membarisi kesebelasan utama menentang KL City.
Pemain tengah yang didakwa berdarah kacukan Cuba-Sepanyol-Malaysia itu sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan sehingga ketua jurulatih skuad kebangsaan terpaksa menyisihkan namanya daripada senarai call-up menentang Vietnam.
Cklamovski pada minggu lalu ketika ditanya kenapa Nacho Mendez tidak dipanggil berkata: “Saya rasa semua nampak dia terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan (bersama JDT).”
Namun dalam posting terbaru dikongsikan laman rasmi kelab Harimau Selatan, kelibat Nacho Mendez kelihatan turut bersama dibawa ke Kuala Lumpur malah dia juga turun menjalani latihan ringan di hotel penginapan pasukan itu sekaligus menunjukkan kesediaannya untuk diturunkan Xisco Munoz.
Ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong, dengan rata-ratanya sekali lagi memuji kecekapan pakar perubatan JDT dalam merawat kecederaan pemain itu dengan kadar segera.
Untuk rekod, pemain berusia 27 tahun itu dikatakan mempunyai kaitan dengan Malaysia menerusi datuknya yang berasal dari Pulau Pinang. Namun memandangkan tiada sebarang bukti nyata atau pengesahan rasmi itunjukkan, ada segelintir penyokong khuatir dia juga mungkin pemain warisan palsu sepertimana tujuh pemain yang digantung sebelum ini.
Nacho Mendez, bekas pemain Sporting Gijon yang menyertai JDT pada Julai tahun lalu, menyerlah sebagai salah seorang tonggak penting JDT musim ini dan telah pun membantu gergasi Liga Malaysia itu menjulang Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut baru-baru ini.
Sebelum itu, dia membantu JDT mempertahankan kejuaraan Piala FA buat musim keempat berturut-turut dengan menewaskan Sabah 5-0 dalam perlawanan akhir.



