HomeSukanPahang Rangers Terus Bersamba, Bawa Masuk Matheus Moura

Pahang Rangers Terus Bersamba, Bawa Masuk Matheus Moura

Pahang Rangers mengumumkan Matheus Moura Batista sebagai pemain import baru pasukan itu, menggantikan Guntur Sulistyo Ariwibowo.

Guntur sebelum ini diumumkan meninggalkan Pahang Rangers selepas membuat hanya empat penampilan di Malaysia Futsal Cup 2024 berikutan menerima tawaran beraksi di negara kelahirannya Indonesia.

Moura yang beraksi di posisi ala, bukan calang-calang pemain. Dia menyertai PRFC setelah cemerlang menyumbang 16 gol dan 10 assist dalam sembilan penampilan bersama gergasi futsal Thailand, Hongyen Thakam musim lalu.

“Moura turut membawa pengalaman antaranya sebagai Juara Paranaense bersama Pato Futsal; Juara Liga Evolucion dan Sulamericano bersama Seleção Brasileira serta Naib Juara Liga Croata bersama Olmissum.

“Visi tepat, tajam, agresif, lincah serta kekuatan sepakan kaki kiri adalah antara kelebihan Moura. Dikategorikan sebagai pemain universal yang turut boleh membantu pertahanan, kehadiran Moura diyakini akan menjadi aset penting pasukan bagi mengharungi musim baru,” menurut kenyataan kelab itu.

Pasukan juara berganda Malaysia Premier Futsal League (MPFL) dan MFC 2023 itu, sebelum ini mengekalkan khidmat penjaring terbanyak musim lalu, Felipe de Souza.

Souza yang juga merupakan bekas pemain import pasukan bolasepak Melaka meledak keseluruhan 28 gol pada musim sulungnya di liga futsal tanah air.

Baca Juga: Kehadiran Semula Felipe Legakan Penyokong Pahang Rangers

Justeru, peminat futsal khususnya penyokong Tok Gajah pastinya tidak sabar menantikan keberkesanan gandingan duo Brazil ini yang menjadi taruhan untuk mereka bersamba musim ini.

Untuk rekod, Moura adalah pemain Brazil ketujuh untuk memperkasa Pahang Rangers, selepas Fineo Araujo (2020); Victor Espindola (2022); Mario Gonzalez, Sergio Jamur (2023); serta Murilo Saad dan Felipe (2024).

Dia menjadi pemain baru kedua dibawa masuk bagi kempen musim baru, selepas terdahulu Pahang Rangers merekrut Razin Rahim dari Shah Alam City.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!