HomeSukanYazid Pulang Ke Pangkuan Gergasi Merah Kuning

Yazid Pulang Ke Pangkuan Gergasi Merah Kuning

Tempoh pendaftaran kedua Malaysia Premier Futsal League (MPFL) dimanfaatkan sebaiknya gergasi merah kuning, Selangor FC untuk memantapkan pasukan, apabila membawa masuk pemain berpengalaman luas, Yazid Kamaruzuan.

Ini kali kedua pemain berusia 33 tahun itu menyarung jersi Selangor, setelah bersama pasukan itu pada musim 2023 dan cemerlang menyumbang 13 gol.

Selepas itu dia menyertai JDT selama semusim pada 2024 dan membantu mereka muncul juara berganda MPFL dan Malaysia Futsal Cup. Pada awal musim ini Yazid yang turut pernah bersama Pahang Rangers, disambar Kedah yang membuat revolusi besar-besaran.

Berita Berkaitan: Kedah Sambar Bekas Tonggak JDT

Begitupun, Kedah gagal untuk menyerlah sepanjang pusingan pertama MPFL, apabila hanya merekodkan satu kemenangan, satu seri dan lima kekalahan untuk menduduki tangga kedua tercorot liga dengan empat mata.

Ini menyaksikan Yazid bersama-sama tiga lagi pemain iaitu Shammir Osmeldo Ayala (import), Shamsuri Salleh dan Nur Lukman dilepaskan pasukan utara tanah air itu.

Kehadiran Yazid, dijangka menjadi tonik penting buat Selangor untuk terus mencabar JDT dan Pahang Rangers. Setelah tamat pusingan pertama tempoh hari, Selangor bimbingan Edgar Eder Baldasso menduduki tangga ketiga dengan 15 mata.

Juara berganda musim 2022 ini ketinggalan tiga mata di belakang Pahang Rangers, dan enam mata di belakang JDT.

Selangor akan memulakan aksi pusingan kedua pada Khamis ini, menentang Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Star.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!