Harimau Malaya bergaya membenam Vietnam 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada Rabu dalam perlawanan yang menyaksikan lima pemain warisan baru lulus cemerlang dalam ujian pertama mereka.
Aksi ditunjukkan skuad kendalian Peter Cklamovski menerima pujian penyokong, malah ada yang menyifatkan ini antara gameplay tercantik skuad negara selepas begitu lama.
Malaysia boleh dikatakan mendominasi sepenuhnya perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, dan selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan, pesta gol bermula di separuh masa kedua dengan Joao Figuereido membuka jaringan.
Rodrigo Holgado menggandakan kelebihan, sebelum Corbin Ong dan Dion Cools melengkapkan kemenangan di hadapan lebih 60,000 penyokong, sekaligus memastikan kemenangan pertama ke atas Vietnam dalam tempoh 11 tahun.
Ternyata, kehadiran pemain warisan berjaya membawa dimensi baru dalam permainan, masing-masing membuktikan pengalaman bermain di liga luar negara itu ‘mahal’ dan kualiti mereka membawa nilai tambah kepada pasukan.
Namun, ada nasihat ikhlas buat mereka daripada bekas pemain ragbi kebangsaan yang juga jurulatih jurulatih kecergasan terkemuka, Iskandar Salleh. Beliau berharap kesemua mereka akan terus beraksi di liga luar negara yang jauh lebih kompetitif.
“Harap kehadiran pemain warisan menjadi cabaran buat pemain tempatan kita. Nak improve tak susah mana pun, nak dengan tak nak jer.
“Concern aku satu jer, jangan main kat sini (Liga Malaysia). Dengan program yang tak lengkap dan pemakanan yang sangatlah tidak membantu, berderailah fitness (kecergasan). Harap diorang kekal main liga luar, main Liga M jahanam,” ujarnya.
Beliau menjadikan situasi menimpa Arif Aiman sebagai contoh: “Intensiti tinggi ditunjukkan Harimau Malaya, Arif Aiman pun tak boleh bertahan, m-75 dah cramp.”

Baca Juga: Iskandar Ada Cara Sendiri Ubah Wajah Skuad Kebangsaan
Untuk rekod, penambahan lima pemain warisan baru di dalam skuad Harimau Malaya, menjadikan jumlah kesemua sekarang ini adalah 12 pemain. Selain Figuereido, Holgado, Cools dan Corbin Ong, lapan lagi pemain di dalam skuad adalah Facundo Garces, Jon Irazabal, Imanol Machuca, Gabriel Palmero, Hector Hevel, Matt Davies, Stuart Wilkin, dan Nooa Laine.
Hector Hevel baru-baru ini telah dilaporkan akan menyertai juara Liga Super, JDT untuk saingan musim baru.