Kelantan Red Warrior FC terus rancak mempersiapkan pasukan bagi menghadapi musim pertama mereka di dalam kancah Liga A1 Semi-pro.
Terbaru, pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu merekrut bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha untuk memperkuatkan pasukan.
Pengalaman luas pemain berusia 39 tahun itu yang juga Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia sebanyak tiga kali dari 2010-2012, dilihat dapat memberi nilai tambah kepada KRWFC yang baru ditubuhkan tahun ini menerusi idea Gerakan Selamatkan Kelantan.
Norshahrul atau dikenali sebagai Matyo, bukan nama asing bagi penyokong bolasepak di Kelantan, dia pernah menjadi pemain kesayangan penyokong dan antara tonggak utama skuad Kelantan yang menjuarai treble pada 2012.
Selepas menjadi nomad bolasepak dengan berhijrah ke beberapa pasukan, kali terakhir Norshahrul beraksi adalah bersama Harini FT dalam saingan M3 pada 2023.
Sebelum ini, KRWFC telahpun mengumumkan pemain berpengalaman di Liga Super seperti Faiz Nasir, Muhaimin Izuddin, Zuasyraf Zulkiefli, Muhammad Mohd Fauzi, Arham Khussyairi, Syafiq Izzudin serta beberapa lagi pemain yang terpilih menerusi sesi pemilihan sebagai antara pemain yang akan mewakili mereka musim ini.
Baca Juga: Yang Sinis Itu Takut Dengan Aura Bolasepak Kelantan – Irfan Bakti
Untuk rekod, saingan Liga A1 Semi-pro 2025/26 dijangka bakal berlangsung lebih meriah dengan pembabitan 16 pasukan berbanding 14 pasukan pada musim lalu.
15 pasukan lain adalah Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen II FC, JDT II FC, Selangor II FC, Kelantan WTS FC, Kedah FA, Kedah Darul Aman FC, Machan FC, Bunga Raya FC, Malaysian University, Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), FC Seoul Phoenix (Korea Selatan), Guar Syed Alwi FC dan UM-Damansara United.