Home"Demi Pahang, Kami Mahu Ubati Rindu Penyokong" - Luis Fonseca

“Demi Pahang, Kami Mahu Ubati Rindu Penyokong” – Luis Fonseca

“Kami akan turun dengan sepenuh kudrat, dan mahu memenangi final ini untuk mengubati rindu penyokong. Ia demi Pahang, demi rakyat Pahang!”

Demikian tegas pengendali Pahang Rangers, Luis Fonseca Cilleros, tatkala pasukannya akan turun berdepan seteru tradisi Selangor dalam aksi final Malaysia Futsal Cup, di Arena N9 Nilai pada Sabtu.

Menurut Luis Fonseca, dia sedar penyokong Pahang hanya ada team futsal untuk diberikan sokongan pada ketika ini selepas penarikan diri pasukan bolasepak Sri Pahang dari saingan Liga Malaysia, dan memahami harapan besar yang diletakkan agar pasukan akan dapat mengulangi pencapaian muncul juara pada 2023.

“Pahang memiliki antara penyokong futsal terbaik dalam negara, kita dapat lihat sokongan luar biasa yang mereka tunjukkan sepanjang musim sejak dari perlawanan liga hinggalah ke malam kebangkitan di Johor pada minggu lalu.

“Mereka tidak berganjak, saat kita jatuh mereka setia bersama, jadi kita perlu bermain dengan lebih daripada 100 peratus aksi ini untuk menghadiahkan mereka trofi ini. Mereka rindu suasana final, kita sudah beri. Kini mereka rindukan trofi, kita perlu buat melebihi apa yang kita boleh buat untuk realisasikannya.

“Ia tentu bukan mudah, kita akan menentang Selangor, pasukan yang sentiasa memberikan kita masalah besar, pasukan yang menewaskan kita ketika kali terakhir kita berdepan mereka.

“Tetapi kita jangan toleh ke belakang, anda juga tahu bahawa sebelum kemenangan ke atas JDT, kita tewas tiga kali menentang mereka. Jadi saya mahu katakan peluang bergelar juara itu milik siapa sahaja, di pentas ini tiada siapa boleh dikatakan pilihan, siapa tunjukkan keinginan dan lakukan apa yang patut, mereka akan peroleh hasilnya,” kata Luis Fonseca.

Untuk makluman, Pahang Rangers mencipta kemenangan penuh dramatik di separuh akhir apabila menyingkirkan juara bertahan JDT. Mereka yang tewas aksi pertama 3-5, mencatat kemenangan bergaya 8-4 di Pasir Gudang untuk mara dengan agregat 11-9.

Ini juga kali ketiga mereka mara ke final dalam tempoh empat musim, dan pertemuan menentang Selangor adalah ulangan final edisi pertama Malaysia Futsal Cup pada 2022.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!