HomeSukanHanya Isu Kelayakan Pemain Menjadi Keutamaan AFC

Hanya Isu Kelayakan Pemain Menjadi Keutamaan AFC

Keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA akan memberi gambaran jelas kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengenai apa tindakan susulan mereka ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

FIFA dijangka mengumumkan keputusan berhubung rayuan FAM pada Jumaat. Sekiranya didapati bersalah, FAM mungkin akan membawa pula kes sehingga ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, berkata konfederasi itu akan bertindak (sama ada potong mata, membatalkan penyertaan, atau hukuman lain) selepas proses undang-undang selesai.

“Sama ada keputusan itu datang daripada jawatankuasa rayuan atau CAS, kami akan menganggapnya sebagai muktamad. Semuanya bergantung kepada FAM. Setelah keputusan dikeluarkan, fail kes akan diserahkan kepada AFC untuk disemak, dan kami akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan keputusan FIFA serta bagaimana ia memberi kesan terhadap perlawanan AFC,” kata Windsor.

“Jawatankuasa disiplin kemudian akan meneliti fail kes untuk menentukan peraturan mana yang telah dilanggar. Jadi ia bergantung kepada fail kes yang dikembalikan daripada FIFA kepada AFC.

“Kita perlu ingat, ada dua fail kes — satu melalui saluran rayuan disiplin ke CAS, dan satu lagi melalui saluran tribunal bola sepak ke CAS. Jadi akan ada dua keputusan. Tetapi bagi pihak AFC, kami hanya memberi tumpuan kepada isu kelayakan pemain, kerana itu yang menjadi keutamaan kami, bukan perkara lain.”

Rayuan FAM, yang dikemukakan awal bulan ini, dibuat selepas FIFA pada September lalu mengenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) ke atas badan induk itu, manakala tujuh pemain — Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel — masing-masing didenda 2,000 franc Swiss serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.

Jawatankuasa disiplin FIFA mendapati terdapat ketidaktepatan dalam dokumen pendaftaran pemain-pemain tersebut, dengan mendakwa sijil keturunan palsu telah digunakan bagi membolehkan mereka layak mewakili pasukan kebangsaan.

Kedudukan Malaysia dalam saingan kelayakan Piala Asia 2027 kini berpotensi terjejas, memandangkan tujuh pemain terbabit telah beraksi dalam kemenangan 2-0 menentang Nepal pada 25 Mac dan kemenangan 4-0 ke atas Vietnam pada 10 Jun.

Malaysia kini mendahului Kumpulan F dengan 12 mata selepas empat perlawanan. Hanya juara kumpulan akan layak ke Piala Asia 2027.

Aksi kelayakan seterusnya buat Harimau Malaya adalah menentang Nepal di Kuala Lumpur pada 18 November dan menentang Vietnam pada 31 Mac tahun depan.

Windsor berkata AFC perlu isu ini diselesaikan sebelum 31 Mac 2026 bagi memuktamadkan pasukan yang akan beraksi di Piala Asia 2027.

“Untuk undian, kami perlu tahu pasukan mana yang akan layak dari kumpulan Malaysia. Sebab itulah kami berharap semuanya dapat diselesaikan sebelum 31 Mac. Proses ini agak panjang kerana prosedur kehakiman memerlukan masa dan mesti mengikut kod yang ditetapkan,” tambahnya.

RELATED ARTICLES

Most Popular