HomeSukanTMJ Sifatkan Hukuman FIFA Bermotif Politik

TMJ Sifatkan Hukuman FIFA Bermotif Politik

Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik kelab bolasepak JDT, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menyifatkan hukuman dikenakan FIFA ke atas tujuh pemain warisan sebagai bermotif politik dan bukan atas sebab sebenar.

Baginda yang juga pencetus revolusi skuad bolasepak kebangsaan menyatakan FIFA membuat keputusan dipengaruhi faktor lain dan tidak mengikut undang-undang.

“FIFA terus menghukum para pemain dengan tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang, sedangkan Artikel 22 dalam kod FIFA menyatakan bahawa hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan, dan perkara itu langsung tidak terpakai kepada para pemain.

“Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bersifat ‘bermotif politik’ berbanding sebab yang sebenar.

“Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising. Tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan berhabis-habisan demi para pemain yang kini akan diteruskan ke CAS – sebuah badan bebas,” ujar baginda.

Terdahulu pada Isnin, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan dikemukakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan, sekaligus mengekalkan hukuman berat yang dikenakan sebelum ini.

Badan induk itu didenda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta) manakala tujuh pemain terbabit — Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel — masing-masing didenda CHF2,000 dan digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

FAM menerusi kenyataan oleh Pemangku Presiden, Datuk Wira Yusoff Mahadi, berkata pihaknya terkejut dengan keputusan tersebut dan akan menunggu penjelasan penuh bertulis sebelum memfailkan rayuan ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).

RELATED ARTICLES

Most Popular