HomeSukanMachuca: 17 Minit Yang Merosakkan Reputasi dan Karier

Machuca: 17 Minit Yang Merosakkan Reputasi dan Karier

Jika ada satu kisah menyedihkan dalam bolasepak, ia mungkin kisah Imanol Machuca, pemain Harimau Malaya yang kini sedang menjalani penggantungan 12 bulan daripada sebarang aktiviti bolasepak.

Pemain Velez Sarsfield ini, nama yang tidak pernah dikenali peminat bolasepak tanah air sehinggalah dia diperkenalkan sebagai wajah baru skuad kebangsaan, atas kapasiti pemain warisan.

Dia yang berasal dari Argentina mendapat kerakyatan Malaysia setelah dikatakan mempunyai darah Malaysia menerusi neneknya yang kononnya lahir di Pulau Pinang.

Machuca kemudian menyertai empat lagi pemain iaitu Facundo Garces, Joao Figueireido, Jon Irazabal dan Rodrigo Holgado membuat penampilan sulung ketika menentang Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia.

Machuca mengharungi perjalanan pergi balik ke Argentina sejauh hampir 33,000 kilometer, lebih 60 jam penerbangan, meninggalkan isteri yang baru melahirkan anak untuk aksi debutnya – masuk menggantikan Rodrigo Holgado pada minit ke-73 menentang Vietnam.

Dia bermain 17 minit, membantu kemenangan 4-0 ke atas Vietnam (kemenangan pertama dalam tempoh 11 tahun). Ia menjadi satu-satunya penampilan pemain berusia 25 tahun itu bersama Harimau Malaya, selepas itu dia tidak dapat menyertai kem kebangsaan atas pelbagai sebab.

“Malam yang sukar untuk dilupakan, terima kasih untuk semua sokongan. Ini hanyalah permulaan,” ujar Machuca selepas debut indahnya itu.

Namun, siapa sangka 17 minit yang dia beraksi membawa malapetaka. Gara-gara 17 minit itu, dia sedang menjalani penggantungan daripada sebarang aktiviti bolasepak berikutan dakwaan oleh FIFA bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memalsukan dokumen berkaitan kelayakannya.

Siasatan FIFA mendapati neneknya Concepcion Agueda Alaniz yang dikatakan berasal dari Pulau Pinang, sebenarnya tiada kaitan dengan Malaysia dan berasal dari bandar Roldan, wilayah Santa Fe, Argentina.

Baca Juga: FIFA Sapu Bersih Semua 54 Kes Yang Dibawa Ke CAS

Malah, dokumen rasmi didakwa milik nenek Machuca juga tular selepas laporan eksklusif media Argentina, Capital de Noticias.

Capital de Noticias mendakwa telah memperoleh sijil kelahiran asal nenek Machuca, membuktikan wanita itu sebenarnya dilahirkan di bandar Roldán, Wilayah Santa Fe, Argentina dan bukan di Pulau Pinang seperti didakwa sebelum ini.

“Di Roldán, daerah San Lorenzo, Wilayah Santa Fe, pada 23 Ogos 1954, jam 10 pagi, Encik Celestino Alaniz, warganegara Argentina, melaporkan kelahiran anak perempuannya, Concepción Agueda, hasil perkahwinan dengan isterinya, Nélida Agustina Ordóñez,” menurut dokumen yang dimuatnaik portal tersebut.

Laporan itu sekali gus mengesahkan bahawa kedua-dua datuk dan nenek Machuca merupakan rakyat Argentina sepenuhnya.

Menurut laporan itu lagi, semakan ke atas sijil perkahwinan pasangan itu menunjukkan Concepcion Agueda Alaniz telah berkahwin dengan Jorge Luis Saracho, seorang buruh yang juga lahir di Roldán pada 27 Ogos 1971 sekali gus menolak kemungkinan wujudnya hubungan darah dengan mana-mana individu berdarah Malaysia.

Apa yang pelik, Machuca sendiri pernah mengatakan bahawa dia layak menyarung jersi Malaysia melalui salasilah neneknya. Takkanlah Machuca tidak tahu asal-usul neneknya dan secara tiba-tiba kaitkan dengan Malaysia, takkanlah dia menipu semata-mata mahu bermain dengan Harimau Malaya yang bukanlah kuasa besar bolasepak?

Kata-kata Machuca mungkin ada benar, dokumen dimuatnaik portal Argentina belum tentu betul. Tetapi sehingga waktu ini, dia didapati bersalah, ia menjadi 17 minit yang merosakkan reputasi dan kariernya yang indah-indah sahaja sebelum ini.

RELATED ARTICLES

Most Popular