HomeSukan"Statistik Buktikan Kami Lebih Banyak Buat Percubaan" - Xisco

“Statistik Buktikan Kami Lebih Banyak Buat Percubaan” – Xisco

Johor Darul Takzim (JDT) mengalami kekalahan kedua dalam saingan Asian Champions League Elite (ACLE) musim ini, setelah tewas 0-2 kepada Melbourne City pada Selasa.

Pengendali JDT, Xisco Munoz menerima kekalahan dengan terbuka, tetapi menekankan meskipun tewas, pasukannya cuma tidak bernasib baik apatah lagi mereka menguasai perlawanan dan mencipta banyak peluang menjaringkan gol.

Menurutnya, ini terbukti menerusi statistik selepas tamat perlawanan, dengan skuad harimau selatan merekodkan 25 percubaan dan 10 daripadanya adalah percubaan tepat ke gawang lawan.

“Statistik membuktikan betapa kami memiliki banyak percubaan ke arah gol lawan tapi semuanya tidak menerjah jaring. Apa yang berlaku, kami tidak tajam di dalam menyudahkan peluang, barisan serangan tidak menjadi malah seperti yang saya katakan nasib tidak menyebelahi kami. Ia bukan hari JDT,” ujar Munoz.

Tambah jurulatih dari Sepanyol itu, “Itulah dalam permainan bola sepak ada ketika kita cemerlang dan ada ketika kita dikecewakan. Hari ini (semalam) Melbourne City lebih baik untuk meraih kemenangan.

“Namun ini bukan titik noktah untuk kami, sebaliknya akan perbaiki beberapa perkara terutama intensiti permainan dan dalam saingan ACLE jika gagal ambil peluang yang terhidang maka anda akan dihukum.

“Ini kali pertama kami ketinggalan selepas pemain kami bermula agak perlahan dan tidak dapat mengawal situasi `set-piece’ yang dilakukan pasukan lawan. Kami harus segera perbaiki situasi berkenaan dan barisan pemain saya tidak boleh lagi melepaskan peluang mencipta jaringan.

“Tapi penjaga goi lawan (Patrick Beach) beraksi sangat baik apabila menidakkan percubaan berbahaya pemain JDT, inilah bola sepak dan kami harus melupakan segera kekalahan yang dialami dan perlu bangkit pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Dalam perlawanan itu, gol awal Max Caputo pada minit ketiga perlawanan dan disusuli gol di penghujung aksi hasil rembatan deras Medin Memeti mengesahkan kemenangan buat skuad kendalian Aurelio Vidmar, sekaligus melebur impian anak buah Munoz sekurang-kurang membawa pulang satu mata.

JDT kini di tangga keenam Kumpulan A dengan tujuh mata dari lima perlawanan.

RELATED ARTICLES

Most Popular