Pengendali Kelantan The Real Warriors (TRW), Akmal Rizal Ahmad Rakhli tidak menyembunyikan rasa gembira dengan kejayaan pasukannya membolosi gawang Johor Darul Takzim (JDT) meskipun tewas 1-4 dalam aksi Liga Super di Seri Iskandar.
Menurut Akmal Rizal, gol jaringan Nor Azam Azih pada minit ke-73 membuktikan para pemainnya berani untuk bersaing dan memberikan tentangan berdepan pasukan gergasi seperti JDT.
Malah, beliau tegaskan ia akan menjadi satu tonik dan suntikan semangat yang sangat penting menjelang pertemuan menentang Negeri Sembilan selepas ini pada 24 Disember.
“Mereka tidak gentar untuk bermain dengan baik, kita berdepan pasukan penuh pengalaman, dibarisi pemain tempatan dan import yang berkualiti tetapi mampu untuk mengawal permainan serta mencipta peluang.
“Walaupun hanya menjaringkan satu gol, ia merupakan satu tonik yang baik buat pasukan kami menjelang perlawanan menentang Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Dalam masa sama, Akmal Rizal turut memuji pemainnya yang berada pada tahap kecergasan yang baik dan mengekalkan intensiti tinggi di sebalik tekanan tinggi daripada barisan serangan JDT.
“Saya harap perlawanan ini menjadi satu platform pembelajaran berharga buat para pemain,” tegas bekas pemain kebangsaan itu yang berharap pasukan akan menjadi lebih mantap apabila pintu perpindahan dibuka pada Januari.
Bagi jurulatih JDT, Xisco Munoz pula, beliau berpuas hati dengan satu lagi kemenangan yang diraih, menjadikan 12 kemenangan dalam 12 perlawanan buat Harimau Selatan.
Namun, dia menegur kesilapan dan kealpaan pertahanan yang membawa kepada jaringan tunggal Kelantan TRW.
“Gol itu bukan semata-mata kesilapan penjaga gol. Kami seharusnya tidak kehilangan bola dengan mudah, ada kalanya penjaga gol tidak dapat bertindak dengan sempurna (menyelamatkan gawang daripada dibolosi) dan itu sesuatu yang boleh difahami,” katanya.
Dalam perlawanan itu, gol buat JDT dijaringkan oleh Jairo Da Silva (m-21), Teto Martin (m-42), Oscar Aribbas (m-52) dan Nazmi Faiz (m-55).
Kemenangan terbaru ini menyaksikan JDT terus berada dalam landasan tepat untuk merangkul gelaran Liga Super ke-12 berturut-turut, apabila mengutip 36 mata dan berkelebihan 12 mata mengatasi pencabar terdekat KL City.
Foto Kredit: Facebook The Real Warriors



