HomeSukanMFL : Kelantan TRW Tiada Tunggakan Gaji

MFL : Kelantan TRW Tiada Tunggakan Gaji

Malaysia Football League (MFL) dalam satu kenyataan mengesahkan Kelantan The Real Warriors (TRW) bebas daripada sebarang masalah tunggakan gaji bagi musim semasa.

Menurut MFL, isu yang berlegar mengenai tunggakan gaji yang tidak dilangsaikan mengikut tarikh akhir 31 Disember yang ditetapkan adalah membabitkan pengurusan lama kelab itu ketika mereka dikenali sebagai Kelantan Darul Naim (KDNFC).

Terdahulu, media tempatan termasuk portal ini melaporkan bekas pemain serta jurulatih pasukan Kelantan TRW kecewa dengan pengurusan kelab kerana senyap dan buat tidak tahu tentang tuntutan tunggakan gaji dianggarkan berjumlah RM220,000 secara keseluruhan.

Mereka menyatakan perbincangan tidak pernah menunjukkan kemajuan positif, dan segala janji hanyalah wayang semata-mata, justeru kecewa diberikan harapan palsu.

“MFL sedia maklum berhubung dengan kes tunggakan gaji pemain kelab Kelantan The Real Warriors di mana kelab berkenaan telah diarahkan oleh First Instance Body (FIB), Financial Fair Play (FFP) pada 14 November 2025 untuk menyerahkan bukti pembayaran atau pelan pembayaran sebelum atau pada 31 Disember 2025.

“Tunggakan gaji pemain Kelantan The Real Warriors ini melibatkan gaji musim 2024-2025 di bawah pengurusan pemilik kelab terdahulu di mana tiada tunggakan gaji direkodkan bagi musim 2025-2026 setakat ini.

“Selain daripada kelab Kelantan The Real Warriors, PDRM FC yang mempunyai kes tunggakan gaji bagi musim ini juga telah diarahkan untuk menyerahkan dokumen FFP pada tarikh akhir berkenaan,” menurut kenyataan MFL.

Badan induk itu turut menyatakan mereka bekerjasama erat dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi pelaksanaan FFP bagi menyelesaikan isu ini.

“Sebarang keputusan berhubung kes tunggakan gaji melibatkan Kelantan The Real Warriors dan PDRM FC akan dibincangkan dalam mesyuarat FFP FIB dalam masa terdekat ini,” menurut kenyataan itu lagi.

Kelantan TRW ketika ini seperti tidak terkesan dengan hukuman yang dikenakan MFL, malah sedang merancang rombakan skuad di jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang akan dibuka pada 5 Januari.

Ketua pegawai eksekutif pasukan, Datuk Irwan Rizal berkata mereka telah mengadakan sesi pemilihan dan mahu menyerap pemain berkualiti bagi mengharungi baki saingan.

“Kami sudah serik dengan pemain yang ejen perkenalkan, kali ini kami proses melakukan yang lebih teliti,” katanya. 

“Dengan kemampuan kewangan, pasukan, set kejurulatihan, pegawai, pengurusan ada kelemahan tapi kami cuba perbaiki. Kami cuba melangkah sejauh mungkin dalam Piala Malaysia. Kalau kami dapat tamatkan Liga Super musim ini di posisi pertengahan, Alhamdulillah,” ujarnya.

RELATED ARTICLES

Most Popular