Bekas pemain Kelantan Darul Naim FC (kini dikenali Kelantan The Real Warriors) sudah tidak tahu apa lagi perlu dilakukan untuk menuntut tunggakan gaji mereka.
Yang pasti, mereka sudah mengikut segala arahan kelab, menunggu dengan sabar, namun janji sekadar tinggal janji dan ia menjadi penantian yang sangat mengecewakan.
Kelantan TRW sebelum ini telah diarahkan oleh Malaysian Football League (MFL) untuk menyelesaikan tunggakan keseluruhan berjumlah RM220,000 (anggaran) kepada bekas pemain skuad itu sebelum 31 Disember 2025.
Meskipun kelab itu memberi jaminan akan melangsaikannya mengikut tempoh diberikan, tetapi tiada apa yang berlaku. Salah seorang pemain, Afzal Akbar berkata kelab itu masih berhutang dengannya gaji tiga bulan sebanyak RM15,000.
“Kami sudah buat laporan kepada PFAM dan MFL. Tapi sampai sekarang, tiada sebarang makluman. Kami diberikan harapan, tetapi sudah hampir setahun menunggu, ia cuma harapan palsu demi harapan palsu.
“Apabila semakin hampir dengan 31 Disember, mereka terus senyap. Bila tarikh itu tiba, tiada apa-apa. Tiada apa yang masuk ke dalam akaun bank,” ujar Afzal, yang kini bermain untuk Kedah FA, kepada Timesport.
Lebih merisaukan Afzal, sekiranya Kelantan TRW akan dibenarkan meneruskan operasi, termasuk mendaftarkan pemain baharu, tanpa terlebih dahulu menyelesaikan tunggakan gaji.
“Kalau mereka bawa masuk pemain baharu sedangkan gaji lama masih belum dibayar, ia terasa seperti satu bentuk penindasan terhadap pemain. Seolah-olah tiada perlindungan untuk kami,” tambahnya.
Bekas jurulatih KDN, Rezal Zambery Yahya, mengesahkan kesnya sendiri telah pun diputuskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Oktober lalu, dengan kelab tersebut didapati bersalah kerana gagal membuat pembayaran.
Rezal menjelaskan bahawa kesnya, bersama kes melibatkan penolong jurulatih Ashadi Yusoff dan seorang ejen pemain, berada di bawah bidang kuasa FAM, manakala kes pemain dikendalikan secara berasingan oleh MFL dan PFAM.
“Kes saya sudah diputuskan. Keputusan keluar pada bulan Oktober. KDN diarahkan untuk membayar gaji tertunggak saya dan dikenakan hukuman. Tetapi sehingga 31 Disember, masih tiada bayaran.
“Sebab itu pemain-pemain mula bersuara, seolah-olah arahan daripada MFL tidak diambil serius,” ujar Rezal Zambery.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa perbincangan yang sedang berlangsung menunjukkan kemajuan positif. “Bagi saya, ia cuma cakap kosong. Tiada tindakan selepas itu.”
Peraduan Scratch & Win Syahmi Syazli kembali lagi. 10 buah iPhone ProMax 17 untuk dimenangi. Hanya beli satu produk Blank untuk sahkan penyertaan, usha produk Blank di pautan ini.
Penjaga gol veteran, Khatul Anuar Jalil, yang telah bermain secara profesional hampir 15 tahun, berkata pemain-pemain turut menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan pihak pengurusan kelab.
“Banyak permainan sorok-sorok. Kami diberitahu untuk hadir mesyuarat, tetapi apabila kami datang, CEO dan pengurusan tertinggi tiada. Mereka tidak membalas surat. Mereka tidak memberi sebarang respons. Tiada kerjasama,” katanya.
Walaupun telah melalui saluran yang betul menerusi PFAM dan MFL, Khatul berkata masih tiada banyak perkembangan.
Isu ini kembali mendapat perhatian minggu ini selepas pemain-pemain terlibat meluahkan perkara tersebut di media sosial, sekaligus menarik perhatian baharu terhadap kewajipan gaji Kelantan TRW yang masih belum diselesaikan.
Sebelum ini, kelab berkenaan telah didenda RM70,000 — melibatkan tiga kes berasingan — oleh Badan Rayuan Peringkat Pertama (FIB) dan dikenakan larangan perpindahan pemain kerana gagal melunaskan tunggakan gaji musim lalu.
MFL sebelum ini dilaporkan sedang memantau kelab-kelab yang mempunyai isu pelesenan dan Kewangan Fair Play, sambil memberi amaran bahawa mereka yang gagal menyelesaikannya menjelang akhir Disember boleh dikenakan tindakan pada Januari.
Dengan jendela perpindahan kedua dibuka pada hari Isnin, kes Kelantan TRW terus menimbulkan persoalan mengenai penguatkuasaan, dan berapa lama lagi pemain dijangka perlu menunggu selepas tarikh akhir berlalu.



