HomeSukanSelangor FC Bergelut Kerana Campur Tangan Pengurusan

Selangor FC Bergelut Kerana Campur Tangan Pengurusan

Dipanggil gergasi tetapi tidak digeruni, begitulah perumpamaan yang mungkin sesuai menggambarkan pasukan Selangor. Antara pasukan yang sering disebut sebagai pencabar kuat Liga Malaysia, namun kemelut prestasi dan masalah dalaman tampak menjejaskan kualiti mereka.

Bekas pemain Selangor dan kebangsaan, Azlan Johar berpendapat Selangor sentiasa bergelut dan sukar untuk konsisten sebagai sebuah pasukan yang disegani, bukan kerana jurulatih atau pemain yang tidak bagus, tetapi kerana campur tangan pengurusan.

Malah dia juga tidak gemar dengan kecenderungan kelab itu menukar jurulatih secara kerap seperti salin baju, yang menggambarkan ketidakstabilan di peringkat pengurusan dan menurutnya menjadi punca utama kemerosotan prestasi.

“Salah satu punca utama kejatuhan Selangor ialah mereka cepat menukar jurulatih. Tiada ketidakstabilan di peringkat pengurusan. Kestabilan adalah asas kepada kejayaan mana-mana pasukan termasuk Selangor sendiri.

“Dulu di era 80-an dan 90-an Selangor hebat dan digeruni, kerana mereka tidak kerap menukar jurulatih,” ujarnya sepertimana laporan TimeSport.

Azlan turut menyelar sikap pengurusan yang gemar masuk campur dalam hal-hal teknikal pasukan, termasuklah menentukan kesebelasan utama dan mengacau program latihan.

“Ini adalah perkara yang paling tidak disukai jurulatih. Campur tangan seperti ini mewujudkan suasana tidak sihat. Jika keputusan tidak memihak yang dipersalahkan adalah jurulatih, bukan pengurusan padahal mereka yang menentukan semua.

“Jurulatih merisikokan kedudukan dan perlu bertanggungjawab meskipun semua kecelaruan disebabkan pengurusan, manakala pengurusan mengambil sikap tak mahu bertanggungjawab,” tegasnya lagi.

Mengulas mengenai bekas jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon yang dikaitkan dengan Selangor, Azlan memberi amaran kepada kelab itu supaya jangan terlalu ghairah mengejar nama besar sedangkan masalah asas dan struktur tidak dibetulkan terlebih dahulu.

Tambahnya, pelantikan baharu hanya akan membawa kepada komitmen kewangan yang tinggi justeru menggesa agar Christopher Gamel (jurulatih interim) dikekalkan apatah lagi dia juga menunjukkan hasil yang baik.

“Kenapa perlu tukar lagi dan bermula semula dari kosong? Anda akan membayar gaji yang lebih tinggi, dan pada akhirnya tak dapat apa-apa. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” ujar Azlan lagi.

Sejak 2018, Selangor telah menukar seramai sembilan ketua jurulatih – satu statistik yang jelas menggambarkan ketidakstabilan bagi sebuah pasukan besar. Antaranya termasuklah mendiang B.Sathianathan, Karsten Neitzel, Tan Cheng Hoe, Michael Feichtenbeiner, Nidzam Jamil, Katsuhito Kinoshi selain beberapa pelantikan interim lain.

Ia seperti menukar jurulatih setahun sekali sekaligus terpaksa reset cara permainan, idea, taktikal, dan perancangan skuad berkali-kali lantas membuktikan kata-kata Azlan memang tepat.

RELATED ARTICLES

Most Popular