Bekas pemain kebangsaan, S.Subramaniam memberi penjelasan mengenai sebab dia memutuskan untuk meletak jawatan sebagai penolong jurulatih Melaka FC.
Subramaniam memikul tugas mengendalikan pasukan itu ketika tewas 0-3 kepada Selangor pada Ahad lalu, namun selepas tamat perlawanan dia membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatannya sekaligus mengikut jejak ketua jurulatih K.Devan yang terlebih dulu berbuat demikian beberapa hari sebelumnya.
“Saya ingin berterima kasih kepada Presiden Melaka FC, Datuk Nur Azmi Ahmad kerana memberikan saya peluang bekerja selama satu tahun dan 10 bulan. Gaji saya tidak pernah lambat, gaji dibayar tepat pada masa, kebajikan dijaga, itu saya puji.
“Saya sebenarnya bukan mengikut jejak (Devan), saya mengambil keputusan untuk keluar kerana mahu mencari haluan yang baru. Sepanjang saya bekerja saya tidak pernah malas, saya kerja keras, pemain tahu dan sebab itu mereka juga berikan segala-galanya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Kekalahan kepada Selangor adalah yang kelapan buat Melaka FC musim ini, menyaksikan mereka kekal menghuni tangga kedua tercorot Liga Super dengan hanya mengutip enam mata.
Mengenai prestasi ditunjukkan pasukan itu ketika berdepan Selangor, Subramaniam menyifatkan faktor kualiti terutama membabitkan kekurangan pemain import menjadi perbezaan pasukannya dengan Gergasi Merah.
Ketika ditanya adakah Melaka FC perlu melakukan rombakan dalam skuad pada jendela perpindahan kedua, bulan depan, Subramaniam menganggap perkara itu wajar dilakukan, namun beliau berkata ia terpulang kepada keputusan kelab.
“Kesukaran dengan pemain import yang tak cukup, setiap kali ada kecederaan. Jadi, itu membantutkan daya saing pemain dalam perlawanan atau pun pasukan. Kelab ini akan maju ke hadapan jika ada suntikan dana lagi dari segi pemain import.
“Saya harap mereka akan melakukan sesuatu, itu saja yang saya boleh katakan. Saya sebenarnya hari ini (malam tadi) dalam situasi keadaan yang cukup rumit. Ketua jurulatih ada isu bersama kelab yang belum diselesaikan dan saya fikir media pun sudah tahu.
“Penolong jurulatih, Asri, beliau ada urusan keluarga, terpaksa ke London. Jadi, situasi yang tak dapat dielakkan, saya hanya dapat dua hari untuk membantu pasukan bersiap bertemu dengan pasukan Selangor,” ujar Subramaniam yang pernah mewakili Perak, Kelantan dan Selangor.



