HomeSukanKim Pan-gon Tertarik Sasaran dan Objektif Selangor FC

Kim Pan-gon Tertarik Sasaran dan Objektif Selangor FC

Ada sebab mengapa Kim Pan-gon memilih untuk kembali berbakti di bumi Malaysia, bersama Selangor FC.

Bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu, yang menggantikan Katsuhito Kinoshi mengakui membuat keputusan menyertai the Red Giants selepas yakin terhadap visi dan kesungguhan kelab itu.

Kim Pan-gon yang meninggalkan negara ini pada Julai 2024, berkata beliau melihat SFC menunjukkan komitmen yang luar biasa serta pemahaman mendalam terhadap falsafah dan kepimpinan yang akan dibawa.

Malah, dia yang sebelum ini membimbing Ulsan HD turut menyifatkan sasaran dan objektif kelab selaras dengan aspirasi peribadinya sebagai seorang jurulatih.

“Falsafah kejurulatihan saya sentiasa memberi fokus kepada pemain dengan penekanan terhadap latihan berkualiti, pelan taktikal yang jelas dan analisis lawan yang terperinci bagi memastikan persiapan pasukan berada pada tahap terbaik.

“Struktur pasukan yang mempunyai gabungan pemain berpengalaman dan muda adalah seimbang, aspek disiplin, profesionalisme, fokus, serta kerja berpasukan menjadi asas supaya setiap individu dapat melaksanakan peranan masing-masing secara optimum.

“Manakala dari luar padang, saya akan terus memberikan galakan dan motivasi agar pemain beraksi bersama-sama sebagai sebuah pasukan,” kata jurulatih dari Korea Selatan itu di laman rasmi kelab.

Sebagai rekod, Kim Pan-gon menjadi kesayangan penyokong tempatan sepanjang membimbing Harimau Malaya dari 2022 hingga 2024.

Dalam tempoh itu dia berjaya memperbaiki ranking skuad kebangsaan daripada tempat ke-154 ke tempat ke-134 dunia (ketika meletak jawatan) dengan pencapaian terbaik berada di kedudukan ke-130 dunia pada November 2023.

Di bawah kendaliannya, Malaysia turut layak ke Piala Asia secara merit buat kali pertama sejak 1980, satu pencapaian bersejarah yang mengangkat kembali imej bola sepak negara di peringkat Asia.

Manakala sebelum itu, Pan Gon sudahpun mencipta kejayaan di Hong Kong bersama South China AA apabila membantu pasukan itu menjuarai Liga Divisyen Pertama pada tahun 2009 dan dinobatkan sebagai Ketua Jurulatih Terbaik musim terbabit.

Dia juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan Hong Kong.

Pada 2024, beliau kembali ke Korea Selatan dan menyertai Ulsan HD FC di pertengahan musim sebelum membantu kelab menjuarai Liga Korea 1 (Liga K1) buat tahun ketiga berturut-turut, sekali gus menjadi individu pertama memenangi liga itu sebagai pemain dan ketua jurulatih bersama Ulsan HD FC.

RELATED ARTICLES

Most Popular