HomeSukanWan Kuzain Dedah Sebab Sebenar Tidak Pernah Wakili Malaysia

Wan Kuzain Dedah Sebab Sebenar Tidak Pernah Wakili Malaysia

Bintang bolasepak berdarah Malaysia kelahiran Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal, menjelaskan sebab sebenar mengapa dia tidak mewakili Malaysia ketika peluang itu muncul tiga tahun lalu.

Wan Kuzain yang seringkali menjadi bahan ejekan kerana dilihat berat hati mahu menyarung jersi Harimau Malaya selain dikatakan menanti peluang mewakili pasukan kebangsaan USA, menegaskan isu tersebut bukanlah kerana keengganan.

Pemain tengah berusia 27 tahun itu tampil mempertahankan diri dengan menyatakan pengkritik, penyokong mahupun pemerhati telah salah faham situasi sebenar.

Ujarnya, dia dari awal telahpun komited dan bersedia untuk menyertai skuad B-23 negara untuk bermain di Sukan SEA 2022 tetapi hasrat itu tidak kesampaian kerana disekat kelabnya.

“Anda langsung tidak memahami konteks sebenar. Saya boleh menerima kritikan, lebih-lebih lagi apabila semuanya hanyalah satu salah faham.

“Kelab saya tidak mahu melepaskan saya pada waktu itu. Ia merupakan satu-satunya waktu rehat saya selepas melalui musim yang panjang selama 10 hingga 11 bulan.

“Tetapi saya benar-benar mahu bermain. Orang boleh beranggapan (buat tafsiran) apa sahaja,” menurut Wan Kuzain yang kini beraksi bersama St. Louis City 2 dalam saingan MLS Next Pro dan sedang menghampiri penghujung kontraknya musim ini.

[IKLAN] Tak lama lagi nak puasa, dapatkan kurma madu di pautan ini.

Kenyataan tersebut merupakan respon kepada kritikan dan beberapa posting lama yang kembali tular, mempersoalkan mengapa beliau tidak menyahut peluang pertama untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Walaupun berdepan pelbagai pandangan serta kecaman, keinginan pemain itu untuk mewakili negara tidak pernah pudar. Namanya telah disenaraikan Peter Cklamovski sebanyak tiga kali dalam senarai simpanan pasukan kebangsaan bagi tahun 2025, dan beliau kekal berharap untuk membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya.

Kini, dengan kontraknya yang hampir berakhir dan pasukan kebangsaan terus membina semula kekuatan di bahagian tengah, persoalan yang timbul bukan lagi mengapa beliau tidak bermain dahulu, tetapi bila Malaysia akhirnya dapat menyertakannya ke dalam kem latihan.

RELATED ARTICLES

Most Popular