HomeSukanPemalsuan Dokumen Pemain Warisan, PDRM Terima 45 Laporan

Pemalsuan Dokumen Pemain Warisan, PDRM Terima 45 Laporan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima 45 laporan berhubung isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata setakat ini pihaknya sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan.

“Setakat ini sebanyak 45 laporan diterima Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK). Kita juga sudah merakam percakapan lapan individu bagi membantu siasatan,” katanya kepada media hari ini.

Untuk makluman, laporan pertama berkaitan isu berkenaan dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 24 Disember lalu, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan tindakan membuat laporan polis dibuat selaras dengan syor Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan siasatan mereka Disember lalu.

[IKLAN] Tak dapat book tempat di Rembayung, no problem anda masih boleh menikmati Sambal Nyet Berapi Ori Khairul Aming. Dapatkan di sini.

Beliau dilaporkan berkata FAM komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Langkah ini mencerminkan komitmen FAM terhadap integriti, ketelusan dan pembaharuan tadbir urus demi menjaga kepentingan bola sepak negara,” katanya.

Sebelum ini, IIC dalam laporan penuh siasatan, mengemukakan tiga cadangan kepada FAM susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya, antaranya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan untuk mengesahkan asal usul dokumen yang disyaki palsu, serta mengenal pasti pihak bertanggungjawab.

Pada 26 September lalu, FIFA dalam kenyataan rasmi mengesahkan bahawa FAM dan tujuh pemain berkenaan didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

FIFA mendapati FAM menyerahkan dokumen yang dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan kesemua pemain itu.

FAM didenda kira-kira CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda sekitar RM11,000 dan digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Pada 3 November lalu, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan FAM dan kesemua pemain terlibat, sekali gus mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib terdahulu.

RELATED ARTICLES

Most Popular