HomeSukan"Jawatankuasa Buat Keputusan Begitu, Kita Kena Hormat"

“Jawatankuasa Buat Keputusan Begitu, Kita Kena Hormat”

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghormati keputusan Jawatankuasa Tatatertib membebaskan Datuk Noor Azman Rahman daripada penggantungan.

Keputusan dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib, pada Rabu menyaksikan Noor Azman yang digantung tugas sejak 17 Oktober tahun lalu susulan isu pemalsuan dokumentasi tujuh pemain warisan kembali menggalas tugas sebagai Setiausaha Agung FAM berkuat kuasa serta-merta.

Yusoff bagaimanapun menjelaskan bahawa ada hukuman lain yang dikenakan terhadap Noor Azman termasuk tiada kenaikan gaji selama dua tahun dan prestasinya akan dinilai oleh ahli jawatankuasa eksekutif (EXCO) dalam tempoh enam bulan.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengikut saranan daripada Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) sebelum ini yang mencadangkan Noor Azman dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib.

“Kita sudah selesaikan proses kita. Maknanya, kita sudah serahkan kepada IIC dan IIC sudah beri dapatan (siasatan) mereka, kita pun sudah ikut, kita hantar ke Jawatankuasa Tatatertib.

“Namun, Jawatankuasa Tatatertib sudah buat keputusan macam itu, kita kena hormat. Kita ikut proses dan apa keputusan pun, apabila kita ada jawatankuasa buat keputusan, kita kena hormatlah keputusan itu,” katanya.

FAM dalam satu kenyataan memaklumkan Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 22 Disember lalu membincangkan hasil laporan daripada IIC dan membuat keputusan meneruskan penggantungan Noor Azman bagi membawa kes berkenaan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM bagi tindakan lanjut.

Justeru, Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Baljit Singh Sidhu bermesyuarat dan setelah mengambil kira tempoh penggantungan yang dikenakan ke atas beliau dan juga laporan IIC bertarikh 15 Disember lalu, memutuskan untuk mengembalikan Noor Azman kepada tugasnya sebagai Setiausaha Agung FAM berkuat kuasa serta-merta.

Menerusi keputusan terbaru itu, ia menunjukkan bahawa Noor Azman hanya terkait dalam kecuaian pentadbiran dan tidak bersalah atau terbabit dalam hal pemalsuan dokumen.

RELATED ARTICLES

Most Popular