HomeSukanFAM Dalam Landasan Lahirkan Pemain Bertaraf Dunia

FAM Dalam Landasan Lahirkan Pemain Bertaraf Dunia

Rombakan struktur pengurusan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) diyakini akan menjadi titik perubahan penting dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain tempatan berkualiti tinggi.

Keyakinan itu membuak selepas Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan FAM secara rasmi mengambil alih peranan teknikal dalam pelaksanaan NFDP, satu langkah strategik bagi memperkukuh ekosistem pembangunan bakat bola sepak negara secara lebih tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi.

FAM dalam satu kenyataan menjelaskan pembahagian peranan antara badan induk itu dan MSN adalah bagi memastikan pelaksanaan NFDP berjalan lebih efektif, profesional serta sejajar dengan standard pembangunan bola sepak antarabangsa.

Mengikut struktur baharu itu, FAM akan memfokuskan sepenuhnya aspek teknikal, manakala MSN kekal bertanggungjawab terhadap pentadbiran dan sokongan atlet termasuk pengurusan fasiliti, kewangan, pertandingan, kebajikan serta pendidikan atlet.

Selain itu, MSN turut mengendalikan pengurusan asrama dan pemakanan, perkhidmatan perubatan serta sains sukan bagi memastikan kebajikan pemain pelapis terus terpelihara.

FAM percaya struktur pengurusan yang lebih mantap dan jelas ini mampu memperkasakan NFDP dalam melahirkan pemain berkualiti tinggi sekali gus memperkukuh masa depan bola sepak Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Teknikal NFDP, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan peranan utamanya adalah memastikan semua program yang sebelum ini dilaksanakan oleh MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diteruskan, di samping menambah baik aspek yang perlu.

Beliau berkata, penilaian menyeluruh terhadap falsafah dan perancangan NFDP akan dibuat selepas enam bulan pertama termasuk proses penambahbaikan berterusan bagi memastikan program berkenaan mempunyai DNA yang jelas.

“Saya nampak banyak aspek yang perlu kami perbaiki, bukan sahaja pada aspek teknik, tetapi dalam bola sepak sekarang kita perlukan pemain yang mempunyai daya fikiran yang cukup baik,” katanya.

Beliau turut menegaskan keupayaan membuat keputusan pantas di atas padang adalah elemen kritikal dalam bola sepak moden selain kemahiran teknikal yang mantap.

Dalam perancangan jangka pendek, Kim Swee mensasarkan Malaysia berada dalam landasan tepat dengan jurang prestasi yang tidak terlalu besar berbanding pasukan Asia Tenggara, sebelum mensasarkan kelayakan ke Piala Asia dan seterusnya Piala Dunia bawah 17 tahun menerusi perancangan jangka pendek, pertengahan dan panjang.

RELATED ARTICLES

Most Popular